Durioo+ Berjaya Tarik Pelanggan Berbayar Dari 99 Negara Selepas Dua Tahun Beroperasi
Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Selepas dua tahun beroperasi sejak Mac 2022, penstriman video digital tempatan yang menawarkan kandungan selamat untuk kanak-kanak Muslim, Durioo+ kini berkembang pesat dan berjaya menarik pengguna atau pelanggan berbayar dari 99 negara.
Malah, Durioo+ turut mempunyai lebih 9,000 video hiburan pendidikan yang selamat ditonton untuk kanak-kanak seperti saluran animasi, dokumentari, filem, aksi langsung, dan ‘creators’ berbanding 200 video pada peringkat awal ia dilancarkan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Durioo+ Sinan Ismail ketika berkongsi pencapaian itu kepada Bernama baru-baru ini berkata ia direkodkan berdasarkan pangkalan data yang diperoleh daripada aplikasi Google Play Store and App Store.
“Sebenarnya kita tak jejak sepenuhnya, sehinggalah apabila kita nak buat sambutan ulang tahun kedua Durioo+ pada 6 Mac lepas, baru kita tengok (data) negara mana yang kita ada. Jadi itu yang membuatkan kita terkejut dan tak sangka boleh pergi sampai ke 99 negara dalam tempoh singkat.
“Sedangkan kita masih fokus 100 peratus bagi pengguna di Malaysia, pemasaran luar negara pun belum kuat, tapi platform Durioo+ dari awal memang dicipta untuk global, jadi yang ada di Google Play Store dan Apple Play Store membolehkan semua orang meninjau dengan sendiri lalu terjumpa aplikasi ini,” katanya.
Sinan berkata Durioo+ juga setakat ini mempunyai 36,000 pelanggan dengan lebih 1,000 daripadanya berada dari luar negara.
Malah yang menariknya, pelanggan berkenaan bukan sahaja dari negara Islam tetapi juga negara bukan Islam seperti Australia, Kanada, Zambia, Gabon dan Jepun.
“Dari segi jumlah tontonan, 98 peratus masih dari Malaysia, di luar negara tak banyak tapi Durioo+ dah ada banyak di luar negara. Sebagai syarikat animasi dan pemula teknologi, pencapaian ini juga adalah kejayaan yang besar apatah lagi nak kekalkan pelanggan yang sedia ada bukan mudah,” katanya.
Dalam usaha meluaskan lagi langganan di peringkat global, Sinan yang juga bekas pengasas siri animasi popular, Omar dan Hana serta Didi & Friends berkata syarikatnya baru-baru ini telah mengadakan kolaborasi dengan pempengaruh islamik antarabangsa dari Kanada, dikenali sebagai Saleh Family yang mempunyai 1.8 juta pengikut di TikTok untuk mempromosi Durioo+.
Selain itu, Sinan memaklumkan pihaknya turut berjaya memiliki aplikasi Ali Huda, penstriman video digital untuk kanak-kanak Muslim dari Kanada yang membolehkan semua pelanggannya ‘berpindah’ langganan ke Durioo+.
Selain itu, beliau berkata syarikatnya juga menjalinkan kerjasama dengan penganjur acara hiburan dan industri halal dari Indonesia FAM Corp dan juga penerbit buku serta cerita Islamik dalam talian dari Amerika Syarikat, Noor Kids sepanjang Ramadan.
“Apa yang kita usaha ini adalah misi besar untuk Muslim. Rata-rata ibu bapa hari ini mengambil berat terhadap kandungan video daripada platform luar negara kerana tak semua yang ada adalah baik dan sesuai untuk kanak-kanak.
“Apabila masalah itu wujud, ibu bapa akan mencari, dan Durioo+ adalah antara alternatif yang ada. Ia amat membantu dari segi memberikan maklumat Islam dan nilai-nilai murni pada usia awal kanak-kanak, seawal dua tahun lagi,” katanya.
-- BERNAMA