Bantuan Kepada Rakyat Parlimen Tambun Berterusan

03/04/2024 10:51 AM

IPOH, 3 April (Bernama) -- Program bantuan rakyat dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa dan bukan hanya dilakukan secara bermusim menjelang perayaan sahaja, termasuk di Parlimen Tambun.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun diminta supaya bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan sepanjang tahun.

Menurut beliau walaupun sibuk menggalas tugas sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Tambun. 

"Kita ada lagi 3,000 kotak makanan akan terus disalurkan kepada golongan memerlukan dan kita tidak ada sumbangan khusus namun sumbangan ini setiap hari, minggu malah setiap bulan berjalan seperti biasa bukan sekadar Ramadan atau Syawal sahaja. 

"Itu yang ditekankan oleh Perdana Menteri kerana beliau sering bertanya setiap minggu laporan di lapangan khususnya Parlimen Tambun agar keluarga yang memerlukan terus dibantu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Rumah Anak Yatim An-Nur Maisarah dan Penyerahan Kotak Makanan Kepada JPKK Parlimen Tambun dekat sini malam tadi. 

Muhammad Kamil berkata Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun akan terus turun padang bagi mendengar sendiri keluhan rakyat dan menyantuni mereka.  

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan memberi yang terbaik dan pihaknya akan memastikan masalah dihadapi oleh rakyat segera diatasi. 

"Kita juga mohon kepada masyarakat atau penduduk yang mempunyai sebarang permasalahan boleh hadir ke pejabat Parlimen Tambun atau membuat aduan melalui dalam talian di portal parlimentambun.my. 

"Saya yakin kakitangan pusat khidmat akan sentiasa bersedia menyelesaikan permasalahan yang berbangkit dengan sewajarnya demi rakyat Tambun," katanya.

-- BERNAMA