Rcb Berjaya Kutip Rm3.3 Bilion Hutang Mara Dalam Tempoh 10 Tahun

03/04/2024 07:12 PM

PASIR PUTEH, 3 Mac (Bernama) -- Syarikat milikan penuh MARA Corporation Sdn Bhd, Rural Capital Berhad (RCB) berjaya membuat kutipan hutang sebanyak RM3.3 bilion dalam tempoh 10 tahun bermula sejak tahun 2013.

Pengerusinya Noor Hariri Mohamed Noor berkata sebahagian besar membabitkan pembiayaan pelajaran diikuti pinjaman perniagaan dan sewaan premis.

“Setakat ini, kira-kira 75 peratus peminjam berjaya membuat bayaran dan bagi tahun lepas sahaja kita berjaya dapatkan bayaran hutang pembiayaan pelajaran sebanyak RM280 juta, pinjaman perniagaan RM20 juta manakala sewaan premis sebanyak RM2 juta.

“Bagi tahun ini RCB menyasarkan kutipan hutang peminjam sebanyak RM300 juta bagi pembiayaan pelajaran manakala RM25 juta lagi bagi pinjaman perniagaan dan sewaan premis," kata pada sidang selepas merasmikan Program MARA Prihatin Ramadan di Dewan Uthmaniyah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MARA Kelantan Fazli Rizal Ismail.

Noor Hariri berkata kelompok yang berhutang kebanyakannya terdiri peminjam yang sukar dan gagal membayar pinjaman selepas tidak berhasil melunaskan bayaran dalam tempoh dua tahun diberikan pihak MARA. 

Beliau berkata beberapa pendekatan diambil bagi memastikan usaha pemungutan hutang lebih mudah termasuk menggunakan pendekatan memujuk melalui panggilan telefon selain menawarkan diskaun dan pemotongan pembayaran melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai alasan digunakan peminjam yang liat termasuk alasan tidak mempunyai pekerjaan, tiada pendapatan tetap dan perniagaan diusahakan gagal.

Terdahulu, kira-kira 1,000 orang asnaf bagi 10 jajahan negeri ini akan menerima bantuan persekolahan, sumbangan baju raya dan wang tunai melalui program MARA Prihatin.

-- BERNAMA