Op Balasah: 5 Divisyen Cekal Berdepan Cabaran Demi Pertahankan Negara
Oleh Fadzli Ramli
SERUDONG, 4 April (Bernama) -- Biarpun berdepan pelbagai cabaran terutama cuaca panas, kemarau dan hutan belantara serta berpuasa pada Ramadan kini, anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) menerusi Ops Balasah tetap cekal mempertahankan sempadan negara.
Pasukan 26 RAMD di bawah pemerintahan Divisyen Kelima Infantri (5 Divisyen) menjalankan operasi itu sejak tiga bulan lepas di sempadan Malaysia-Indonesia di sini bagi mengekang segala anasir termasuk jenayah rentas sempadan.
Penulis berpeluang merasai cabaran itu apabila meninjau pengoperasian rondaan Op Balasah baru-baru ini, namun hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum terdampar kepenatan, kepanasan dan kehausan membuatkan penulis menitip rasa hormat amat tinggi buat perwira 26 RAMD itu.
Panglima 5 Divisyen Mej Jen Datuk Malek Razak Sulaiman berkata tanpa mengira masa dan berdepan pelbagai cabaran pasukannya terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan di sempadan dua negara di Sabah, Malaysia dan Kalimantan Utara, Indonesia terus terjaga.
“Tujuh hari seminggu dalam tiga bulan ini tanpa mengira cabaran dengan bulan Ramadan dan semua anggota 26 RAMD beragama Islam selain dalam cuaca panas serta apa juga cuaca, kita terus menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.
“Op Balasah bertujuan menjaga keselamatan untuk kawal pintu sempadan sama ada lorong tikus atau lorong gajah diceroboh anasir tidak bertanggungjawab sama ada dari Kalimantan Utara ke Sabah atau sebaliknya, memastikan tidak berlaku jenayah rentas sempadan membahayakan negara,” katanya.
Malek Razak berkata Op Balasah sebenarnya dimulakan sekitar 90-an sebagai operasi memantau kayu balak di pedalaman negeri itu yang memberikan nama singkatan ‘Balasah’ merujuk balak Sabah, namun operasi itu berevolusi menjaga keselamatan di sempadan negara seiring keperluannya.
Beliau berkata menerusi operasi itu, pasukan bawah pemerintahan 5 Divisyen akan bergilir untuk tempoh tiga bulan melaksanakan operasi, serta ditempatkan di 12 pos kawalan antaranya di Serudong dan Long Pasia bagi melaksana pelbagai tugasan antaranya pengawasan serta jaringan penduduk di sempadan.
“26 RAMD yang menjalankan Op Balasah ini pula berpusat di Markas Taktikal Keningau untuk kita menyelaras dan mengatur gerak operasi ini. Datanglah apa sahaja cabaran kita di 5 Divisyen sentiasa bersedia dan berkorban bagi pertahankan negara,” katanya.
Korporal Muhamed Afhaizat Ramadhan Mohammad berkata beliau bersama 'adik-beradiknya' dalam 26 RAMD dari Kem Kukusan, Tawau sedia berkorban menempuh pelbagai cabaran kerana pengorbanan itu dapat memastikan keamanan serta keselamatan negara dan rakyat dapat dikekalkan.
"Cabaran paling getir ketika cuaca panas ini bekalan air dan berdepan pelbagai cabaran ditambah terpaksa berjauhan dengan keluarga pada Ramadan juga Syawal yang bakal tiba, namun ini pengorbanan amat berbaloi dibayar untuk dapatkan keamanan," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Muhamed Afhaizat Ramadhan, 30, turut berkongsi cerita mengenai memori sambutan Ramadan dan Syawal di kampung antaranya masakan nasi beriani Batu Pahat, malah beliau merindui masakan ayam masak merah dan sambal jawa hasil air tangan ibunya.
Bukan mudah bagi bapa seorang anak itu yang terpaksa berjauhan dengan isteri dan anaknya yang kini tinggal di Pontian, Johor namun ia dilakukan beliau selama tujuh tahun melaksana amanah sebagai perwira negara di Sabah.
Prebet Muhamad Hafizan Md Zulkifli, 25, dari Pasir Puteh, Kelantan berkata ahli keluarganya amat memahami pengorbanan dilakukannya dan sentiasa memberikan sokongan serta dorongan yang menjadi kekuatan untuknya meneruskan amanah diberikan.
"Kami anggota (26 RAMD) adalah adik-beradik yang sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain. Kami dalam tiga minggu di sini dengan cuaca panas, bekalan air susah, berpuasa tetapi semangat kami masih kental dan kuat," katanya.
Beliau bertunang dengan gadis pilihannya dari Kuala Nerang, Kedah sejak 2022 namun kerana tugas dan lokasi tempat kerja yang jauh, pasangan itu sanggup menangguhkan perkahwinan dan memohon kepada semua untuk mendoakan mereka selamat melangsungkan perkahwinan akhir tahun ini.
Semangat 'Nerang Separang' bermaksud 'Tangkas Menggempur' dalam bahasa Bajau yang juga cogan kata 5 Divisyen mencerminkan semangat mereka mengorbankan segalanya demi memastikan Malaysia serta rakyat sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera biarpun berdepan segala cabaran.
-- BERNAMA