Jualan Baju Raya Dalam Talian Tidak Beri Saingan Kepada Tukang Jahit Orang Asli

05/04/2024 06:22 PM

GUA MUSANG, 5 April (Bernama) -- Lambakan pilihan baju raya siap yang dijual di media sosial tidak menjejaskan ‘periuk nasi’ tukang jahit Orang Asli suku kaum Temiar Siti Norsyakila Kamarzaman, 35, menjelang Aidilfitri ini. 

Wanita berasal dari Kampung Lambok, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini itu berkata kebanyakan pelanggan masih setia menghantar tempahan baju raya, malah jumlahnya meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas hingga dia terpaksa mengupah seorang pekerja bagi membantunya.

“Alhamdulillah walaupun terdapat pelbagai pilihan jenama dan fesyen terkini di Facebook, TikTok dan Instagram pelanggan masih datang menghantar kain untuk dijahit sempena hari raya ini. 

“Ramadan kali ini saya dapat tempahan baju raya lebih 60 pasang berbanding 30 pasang pada bulan biasa,” katanya kepada pemberita di Kampung Lambok RPS Kuala Betis di sini hari ini.

Siti Norsyakila tidak menafikan terdapat kelebihan dan kekurangan pada setiap pilihan pengguna sama ada membeli pakaian secara dalam talian mahupun mendapatkan khidmat tukang jahit. 

Untuk it, dia mengakui walaupun mengambi upah menjahit, untuk baju raya sendiri dan keluarganya dia lebih suka membeli secara dalam talian kerana lebih mudah dan banyak pilihan fesyen. 

“Namun, tidak semua baju siap yang dibeli menepati ukuran badan dan pada akhirnya saya juga yang terpaksa juga buat pengubahsuaian. Jadi, walaupun pelanggan beli baju menerusi Facebook atau TikTok mereka tetap mengupah saya untuk ‘membaiki’ baju tersebut,” katanya. 

Siti Norsyakila yang mendapat bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat dari segi kemahiran serta peralatan menjahit, berkata fesyen yang jadi pilihan pelanggan pada tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun sebelum ini iaitu baju kurung moden dan kebaya. 

“Selain itu, saya juga mengambil tempahan baju Melayu dan kurta bagi pelanggan lelaki,” katanya yang berpengalaman 15 tahun sebagai tukang jahit. 

Menurutnya upah yang dikenakan bagi baju kurung bermula daripada serendah RM40 sepasang bergantung kepada fesyen yang diinginkan, manakala pakaian lelaki antara RM35 dan RM80. 

“Kebanyakan pelanggan saya ialah penduduk RPS Kuala Betis, namun terdapat juga pelanggan dari luar yang menghantar tempahan melalui perkhidmatan pos,” katanya. 

-- BERNAMA