Lelaki Ditahan Jual Mercun, Bunga Api Tanpa Permit Di Jeli

06/04/2024 07:14 PM

KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana menjual mercun dan bunga api tanpa permit dianggarkan bernilai RM2,000 di bazar Ramadan Ayer Lanas, Jeli, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jeli Supt Saari Yaacob berkata siasatan polis mendapati lelaki warga tempatan itu ,mengaku membeli bekalan tersebut secara dalam talian dan tidak mempunyai permit semasa berniaga di bazar berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 manakala lelaki itu direman selama empat hari sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peniaga atau individu yang ingin menjual bahan berkenaan perlu memiliki permit menjual mercun dan bunga api yang sah.

-- BERNAMA