Butang Kayu Jadi Aksesori Pilihan Untuk Baju Melayu

09/04/2024 11:32 AM

Oleh Afifitri Muhammad

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Seakan tidak sempurna atau kurang lengkap penampilan si jejaka di pagi Syawal jika menggayakan baju Melayu cekak musang atau teluk belanga tanpa butang baju bersesuaian.

Malah seiring perkembangan fesyen, rekaan butang baju Melayu juga semakin pelbagai sama ada berbentuk klasik seperti keris, kubah mahupun jenis berantai yang diperbuat daripada aloi dan perak dengan bertatahkan manik serta permata tiruan berbagai warna.

Terbaharu, butang baju Melayu diperbuat daripada kayu pula menjadi tumpuan memandangkan warna kayu disifatkan lebih bernostalgia dan memiliki elemen kemelayuan. 

Pengasas Senitukang, Mohd Mustafa Meharomi, 30, berkata butang baju Melayu daripada kayu keluaran perusahaannya paling laris jualan sepanjang Ramadan serta menjelang  Aidilfitri kali ni terutama butang kayu menggunakan kaedah potongan laser. 

“Seperti biasa, setiap set terdapat lima biji butang baju Melayu dengan tiga reka bentuk pilihan iaitu bunga Delima, Cengkih dan Ratna. Butang baju Melayu ini menjadi tarikan kerana ia mempunyai nilai estetika tersendiri selain menggunakan skru ‘studs belt’.

“Konsep kayu yang digayakan dengan baju Melayu itu juga sangat sesuai kerana ia menampilkan elemen klasik moden,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang mengusahakan perusahaan itu bersama rakannya, Muhammad Huzaifi Zainal Abidin, 30, dan Muhammad Khairul Syafiq Razali, 30, berkata bagi menyuntik keunikan serta menambah nilai estetika pada butang baju Melayu yang dihasilkan, pemilihan warna kayu juga memainkan peranan.

Untuk itu, menurutnya mereka menggunakan kayu jenis Eboni dari Sumatera bagi mendapatkan rona lebih gelap selain kayunya yang keras dan tahan lasak serta mempunyai urat kayu yang cantik membuatkan butang lebih unik dengan corak kayu semula jadi.  

“Kami juga menggunakan kayu Mapel yang lebih cerah membuatkan kayu lebih menonjol apabila diukir menggunakan proses bakar dan struktur kayu yang sederhana keras sesuai untuk dijadikan produk kecil kerana mempunyai ketahanan tinggi,” kata Mohd Mustafa.

Ditanya bagaimana bermulanya perusahaan butang baju Melayu daripada kayu, beliau yang memulakan Senitukang sejak 2019 bersama rakannya itu mendapat idea secara tidak sengaja apabila cuba menggabungkan serpihan kayu dengan skru yang berada di atas meja. 

“Sebelum buat butang baju Melayu, kami ada juga hasilkan produk seperti barang perkahwinan, sarung telefon, balang kuih, pen, rantai kunci dan lain-lain. Jadi, kami ada beberapa serpihan kayu terpakai. 

“Saya cuba menggabungkan serpihan kayu berkenaan dengan skru dan apabila melihat ia seakan butang baju Melayu, kami nekad untuk mengeluarkan produk tersebut dan tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya. 

Menariknya Mohd Mustafa berkata butang baju Melayu daripada kayu itu bukan sahaja mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat tempatan malah dari negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

 “Untuk tahun ini kami hasilkan satu rekaan baharu ‘Segara’ yang bermotifkan ombak laut. Kesemua produk ini dijual dengan harga berpatutan dan mampu milik iaitu RM50 setiap set serta tambahan RM5 bagi mereka yang ingin mengukir nama untuk dijadikan hadiah dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA