Sam Mahu Ikut Modul Yakeb Bantu Ahli, Bekas Wartawan Sukan

09/06/2024 07:03 PM

PETALING JAYA, 9 Jun (Bernama) -- Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mahu menjadikan modul Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sebagai panduan dalam memantapkan usaha persatuan menjaga kebajikan ahlinya.

Pemangku Setiausaha SAM Wan Norbazly Wan Azmi berkata persatuan itu bersedia memperkasakan agendanya termasuk menyantuni ahli dan bekas wartawan sukan di seluruh negara dengan lebih aktif.

"Mungkin selepas ini kita akan ziarah wartawan-wartawan sukan, legenda-legenda kewartawanan sukan di Malaysia dengan lebih ramai lagi…bantuan lebih baik untuk mereka sama ada meraikan Aidilfitri ataupun sambutan Ramadan,” katanya selepas kejohanan Tenpin Boling SAM-YAKEB di sini, hari ini. 

SAM sebelum ini menggerakkan program SAM Prihatin dengan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada veteran yang terjejas akibat komplikasi kesihatan, selain menyalurkan bantuan persekolahan kepada 72 penerima terdiri daripada anak-anak kepada 40 ahli SAM yang terpilih menerusi program Kasih Prihatin Back to School.

Ia antara modul kebajikan dipraktikkan YAKEB yang terkenal dengan usaha menjaga kebajikan bekas atlet negara, termasuk program turun padang menjelajah seluruh negara.

Terdahulu, hampir 100 pengamal media mengambil bahagian dalam edisi kedua kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama SAM dan YAKEB di Sunway Pyramid di sini.

"Kita nampak penambahan penyertaan pasukan dan juga tambahan daripada ahli-ahli SAM serta YAKEB untuk menjayakan kejohanan hari ini,” kata Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

-- BERNAMA