Kepengerusian ASEAN: Infrastruktur Bandar Termasuk Mitigasi Banjir Fokus Utama DBKL

24/10/2024 07:58 PM

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Penyediaan infrastruktur termasuk projek mitigasi banjir di ibu kota antara lima fokus utama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang Kepengerusian ASEAN 2025, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Beliau berkata fokus lain ialah pengindahan, pencahayaan, penambahbaikan jalan serta promosi ASEAN 2025.

"DBKL bekerjasama dengan bangunan komersial dan hotel untuk promosi dan menyalakan bangunan di sekitar Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus (SLU) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Maimunah berkata selain itu DBKL juga akan membeli peralatan seperti pam bagi mengalih keluar air di lokasi banjir ke sungai.

Beliau berkata kerja pembersihan longkang, sungai serta kolam takungan banjir akan giat dijalankan sebagai usaha menangani risiko banjir kilat.

"Dulu sungai tiga bulan sekali dibersihkan tetapi sekarang sebagai persediaan kita akan bersihkan dua kali sebulan," katanya.

Sementara itu, Maimunah berkata satu pasukan petugas dalaman telah ditubuhkan untuk meneliti pengurusan bazar Ramadan di 65 lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk urusan permohonan lesen berniaga secara dalam talian.

Beliau berkata hal itu susulan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa agar DBKL sendiri mengurus bazar perayaan.

Pasukan berkenaan katanya terdiri daripada bahagian pelesenan, penguatkuasaan, kejuruteraan dan perancangan diketuai seorang pegawai berjawatan Pengarah Eksekutif. 

-- BERNAMA