RMHC Malaysia Santuni Hampir 200,000 Kanak-kanak Seluruh Negara Sejak 2017

28/11/2024 10:02 AM

TAMPIN, 28 Nov (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia)  telah membantu hampir 200,000 kanak-kanak seluruh negara menerusi pemberian kelengkapan pek kembali ke sekolah sejak diperkenalkan pada 2017.

Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata bagi menjayakan inisiatif ini, lebih RM10 juta dibelanjakan bagi menjayakan inisiatif ini dan memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan.

"Bagi sesi persekolahan tahun depan, kami menyasarkan 10,000 murid prasekolah daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara untuk menerima Pek Kembali ke Sekolah dengan perbelanjaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Program Pek Kembali ke Sekolah yang turut dihadiri Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad (YJA) Zainuddin Jaafar dan  Pengurus Besar RMHC Malaysia Nasri Nordin di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, Gemas di sini.

“Sepanjang pelaksanaan program ini, kami menerima banyak maklum balas positif daripada ibu bapa, guru, dan pihak sekolah. Program ini sentiasa dinantikan oleh kanak-kanak setiap tahun. Apabila mereka mendapat kelengkapan persekolahan baharu, semangat mereka untuk ke sekolah dan belajar meningkat,” katanya.

Beliau yang juga pengasas YJA berkata usaha ini diteruskan dengan sokongan rakan korporat dan individu yang komited setiap tahun dan Yayasan Jaafar Ahmad (YJA), sering menjadi rakan penaja di Negeri Sembilan dan pada kali ini, dianggarkan 1,000 murid akan menerima manfaat tersebut.

Azmir berkata pengagihan sumbangan Pek Kembali ke Sekolah ini dijangka diselesaikan sebelum Mac 2025, iaitu sebelum sesi persekolahan bermula.

Dalam pada itu, beliau berkata YJA menyumbang RM50,000 kepada RMHC Malaysia untuk 350 kanak-kanak daripada 11 sekolah rendah dan empat Tabika KEMAS di daerah Tampin tahun ini.

“Bantuan ini amat bermakna bagi saya kerana saya juga merupakan anak peneroka Felda. Saya berharap anak-anak ini akan lebih bersemangat untuk belajar dan berusaha mencapai kecemerlangan akademik,” tambahnya.

Sementara itu, Nasri berkata tahun ini, RMHC Malaysia bekerjasama dengan Mydin untuk mengagihkan Pek Kembali ke Sekolah kepada penerima di seluruh negara. Pihak sekolah turut membantu dengan menyediakan senarai murid yang memerlukan bantuan ini.

Beliau berkata kerjasama RMHC Malaysia dan YJA melibatkan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di Negeri Sembilan.

“Sejak penubuhan yayasan ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk tajaan berbuka puasa pada bulan Ramadan. Secara keseluruhan, yayasan ini telah menyumbang hampir RM600,000 melalui RMHC Malaysia untuk pelbagai aktiviti kebajikan di negeri ini,” katanya.

Selain itu, YJA turut menaja pembukaan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di McDonald’s Tampin untuk membantu komuniti setempat mendapatkan rawatan daripada terapis bertauliah.

Seorang penerima sumbangan, Siti Nurfatin Zulkifli, 27, melahirkan rasa bersyukur atas bantuan yang diterima anak sulungnya berusia enam tahun, sekali gus meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Bagi Hamidah Alias, 68, beliau berasa terharu apabila cucunya yang berusia 10 tahun menerima sumbangan itu.

“Mak cik amat bersyukur menerima bantuan ini buat kali kedua. Cucu mak cik sangat gembira dan bersemangat. Mak cik berdoa agar dia menjadi anak yang berjaya,” katanya.

-- BERNAMA