MUHAMMAD ADIB GIAT PROMOSI ‘MANEH MELECAIH' HARUMANIS
Hasnah Jusid
KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Usianya mungkin masih muda, namun ilmu pengetahuan dan impian jangka panjang Muhammad Adib Hashim, 29, berkaitan "raja mempelam" atau mangga harumanis yang terkenal di Perlis bukanlah biasa-biasa.
Malah, anak muda yang berasal dari Bukit Keteri, Perlis ini tidak kekok untuk menguruskan kebun harumanis diwarisi daripada arwah ayahnya, Hashim Saad, walaupun sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Ditemui Bernama baru-baru ini, anak ketiga daripada lima beradik itu cukup petah berkongsi pelbagai maklumat berkaitan harumanis meliputi proses vegetatif, keistimewaan buah, kajian serta potensi produk berasaskan buah itu.
"Perlis negeri yang sangat bertuah, walaupun spesies harumanis Mangifera Indica L. ada di negara lain seperti Indonesia (Sumatera), Thailand dan Vietnam, aroma wanginya tidak setinggi yang terdapat di Perlis.
“Cuaca yang sangat panas di Perlis akan memaksa haruman keluar daripada buah dan ekstraknya kita boleh dijadikan produk sampingan,” katanya.
Muhammad Adib berkata pengajian PhD menuntutnya untuk bijak membahagikan masa, namun bersyukur kerana empat adik beradiknya yang melanjutkan pengajian di peringkat sama turut membanting tulang menguruskan kebun yang terletak di Chuping - kawasan titik terpanas di Malaysia dengan suhu pernah mencecah 40.1 darjah Celcius.
“Apabila saya belajar PhD, hal ini membuatkan saya lebih sistematik, cara berfikir, cara pengendalian produk pertanian dan penjagaan vegetatif, bagi memastikan kita boleh memberikan (menghasilkan) buah dan produk terbaik.
“Saya membaca kajian berkaitan agrikultur harumanis, perkara itu membantu untuk memahami lebih mendalam apa yang diperlukan pokok ini, contohnya pokok ini sihat sebab apa... sakit sebab apa,” katanya.
Ilmu berkaitan buah berkenaan yang memiliki kandungan vitamin A dan C yang tinggi dan banyak dipelajari daripada arwah bapanya juga dikongsikan menerusi akaun TikTok Adib Harum Manis, yang kini memiliki lebih 16,000 pengikut.
Muhammad Adib berkata ramai dalam kalangan pengikutnya dari Singapura, Indonesia dan Brunei menyatakan hasrat untuk merasai keenakan buah berkenaan yang mempunyai kandungan serat sangat halus dan kini semakin dikenali di rantau ini.
Pada masa ini Muhammad Adib dan pengusaha harumanis lain bekerjasama dengan UiTM Perlis bagi menghasilkan produk berasaskan harumanis bagi menjana pendapatan tambahan di luar musim pengeluaran buah berkenaan yang lazimnya berlaku setahun sekali pada Mac hingga Mei.
"Kita telah berjaya menghasilkan beberapa produk seperti teh hijau daripada daun harumanis, semburan minyak rambut daripada biji harumanis, serbuk cicah harumanis dan yogurt," katanya sambil menambah harumanis berkenaan dijual pada harga kira-kira RM100 sekilogram.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Ijazah Sarjana daripada UiTM Shah Alam, Muhammad Adib berkata walaupun ramai menyatakan harga buah berkenaan mahal, namun ia berbaloi dengan penat lelah petani yang menguruskan kebun mereka sepanjang tahun.
Ia merangkumi aktiviti pembajaan, penjagaan dari serangan penyakit pokok, pengkapuran tanah, pemangkasan, semburan pendebungaan, pembalutan buah pada musim panas (seringkali pada Ramadan), penuaian, pembungkusan, dan penghantaran ke destinasi pembeli.
“Harumanis sukar didapati, petani akan hasilkan buah ini di peringkat vegetatif bermula Jun hingga Januari. Titik peluh pekebun tidak dapat digambarkan dengan wang ringgit, sebab buah ini ditatang seperti minyak yang penuh,” katanya yang menasihati anak muda supaya tidak takut menceburi bidang pertanian kerana baginya berbudi kepada tanah pasti akan membuahkan hasil.
Muhammad Adib yang mendapat latihan serta bantuan daripada Jabatan Pertanian Perlis mencadangkan agar lebih banyak kajian terhadap harumanis bagi membolehkan dikomersialkan di peringkat antarabangsa, selain meningkatkan kesedaran mengenai potensi buah berkenaan dalam kalangan generasi muda.
-- BERNAMA