Kelantan Tetapkan Kadar Sewa Tapak Bazar Ramadan Mengikut Kawasan Jajahan Bermula RM200
KOTA BHARU, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan Kelantan telah menetapkan kadar sewa bagi tapak bazar Ramadan di negeri ini bermula dari RM200, mengikut jajahan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata harga ditawarkan itu adalah sangat rendah kerana termasuk lesen dan sebagainya, berbanding harga sewaan tapak bazar Ramadan yang dikenakan oleh pihak swasta.
"Bagi Majlis Daerah Kuala Krai, harga sewa berjumlah RM500, Majlis Daerah Pasir Puteh di Selising (RM450) serta Bandar Pasir Puteh (RM550), Majlis Daerah Machang (RM400) dan Majlis Daerah Pasir Mas (RM350).
"Manakala, Majlis Daerah Tanah Merah (RM350 sehingga RM450), Majlis Daerah Ketereh (RM300), Majlis Daerah Bachok (RM300), Majlis Daerah Gua Musang (RM250), Majlis Daerah Tumpat (RM250), Majlis Daerah Jeli (RM200) dan Dabong, Kuala Krai (RM200)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata bagi jajahan Kota Bharu pula terdapat lima bazar Ramadan yang disediakan oleh kerajaan negeri iaitu di Padang Tembak (RM370), pasar malam Kubang Kerian (RM580), pasar malam Taman Bendahara (RM400), Tok Kenali Binjai (RM570) dan pasar malam Pasir Tumboh (RM570).
"Ada pihak mempertikaikan kenapa kerajaan negeri tidak buat (urus sendiri bazar Ramadan)...sebenarnya kita memang ada sediakan tapak bazar Ramadan di seluruh jajahan.
"Mana-mana peniaga yang kurang berkemampuan dan merasakan harga yang ditawarkan pihak swasta tinggi, boleh segera memohon sewa tapak bazar Ramadan di bawah majlis daerah masing-masing," katanya.
-- BERNAMA