Kebakaran Di Likas: Penduduk Reda Ujian Menjelang Ramadan
KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Penduduk Kampung Cempaka, Likas di sini yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran memusnahkan 80 rumah awal pagi tadi, reda dengan ujian menimpa menjelang Ramadan, bermula esok.
Seorang pemandu lori Mohd Sabri Talib, 50, berkata keluarganya telah membuat persediaan untuk menunaikan ibadah puasa, tetapi kini mereka perlu bermula daripada kosong.
Mohd Sabri berkata dia telah membeli barang keperluan harian seperti beras, telur, minyak dan makanan tin untuk keperluan sahur serta berbuka, namun semuanya musnah dalam kebakaran itu.
“Tetapi saya reda, ini ujian Allah dalam bulan yang mulia kerana Ramadan mengajar kita untuk sentiasa bersabar. Saya percaya Allah mahu beri yang lebih baik pada Ramadan dan Syawal nanti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 5 pagi itu melibatkan kawasan penempatan setinggan seluas sekitar 250 meter persegi, mengakibatkan 669 orang daripada 139 keluarga kehilangan tempat tinggal.
Hamzani Jair, 44, seorang pembantu kedai tidak dapat menahan air mata ketika menceritakan bagaimana tujuh ahli keluarganya kini hilang tempat berteduh, dan sebagai ketua keluarga dia risau persediaan untuk berpuasa nanti.
“Hati saya sebak tetapi reda semasa melihat rumah musnah terbakar, ini ujian Ramadan kita hadapi. Banyak dalam fikiran saya, lebih-lebih lagi esok pagi kita sudah mula berpuasa dan tidak lama lagi kita akan buat persediaan menyambut hari lebaran (Aidilfitri),” katanya.
Dia yang hanya sempat menyelamatkan pakaian, dokumen penting dan beberapa barang keperluan rumah akan tinggal di rumah saudaranya buat sementara waktu, dan berharap ada pihak yang membantu penduduk untuk mencari tempat tinggal baharu.
Alfadra Ahmad Madja, 37, seorang buruh kasar berkata walaupun kehilangan tempat tinggal, dia masih bersyukur tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu.
“Saya terdengar orang berteriak di luar rumah dan apabila meninjau dari tingkap, saya lihat beberapa rumah berhampiran sudah terbakar. Saya segera mengejutkan isteri, anak dan mentua untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Dia berkata walaupun bersyukur kerana sempat menyelamatkan dokumen penting, keluarganya kini buntu kerana Ramadan dan Syawal bakal tiba dan mereka tiada tempat untuk tinggal.
Nurmina Abdul Rahim, 36, pula berkata dia terjaga apabila dikejutkan oleh anak perempuannya yang berusia 15 tahun dan segera bertindak menyelamatkan jiran yang masih tidur.
“Saya mengetuk pintu sekuat-kuatnya agar mereka tersedar. Jiran saya mempunyai seorang anak yang masih bayi. Syukur kerana mereka juga sempat menyelamatkan diri,” kata suri rumah itu.
Rasnah Osman, 38, seorang penjual sayur di Pasar Kota Kinabalu pula berkata dia sangat bersyukur apabila jiran-jiran saling membantu dalam situasi cemas itu.
“Alhamdulillah, walaupun kami hilang segala-galanya, semangat kekeluargaan penduduk kampung ini sangat tinggi. Kami saling membantu untuk menyelamatkan diri, terutama warga emas dan kanak-kanak,” katanya.
-- BERNAMA