MAIWP Salur RM6.5 Juta Bantuan Zakat Di Labuan Sempena Ramadan, Aidilfitri

02/03/2025 05:03 PM

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperuntukkan RM6.5 juta dana zakat kepada 6,500 asnaf berdaftar di pulau bebas cukai ini menerusi program Bantuan Khas Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Pengurus MAIWP Labuan Md. Fadzli Md. Saad berkata setiap asnaf yang juga penerima bantuan bulanan MAIWP akan menerima RM1,000.

“Dana itu akan disalurkan dalam dua fasa iaitu RM500 sebelum Ramadan dan RM500 lagi sebelum Aidilfitri, terus ke akaun bank masing-masing.

“Untuk bantuan Ramadan, MAIWP telah pun memasukkan RM500 ke dalam akaun penerima bermula minggu lepas (sebelum Ramadan) dengan baki RM500 akan disalurkan sebelum Aidilfitri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata MAIWP meluluskan RM54,000 dana zakat untuk menyara 180 pelajar yatim daripada pelajar sekolah agama Darul Kifayah dan MAIWP menerusi program Bantuan Aidilfitri itu.

"Setiap pelajar akan menerima RM300 yang akan dikreditkan ke akaun mereka sebelum Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, 12 pelajar cemerlang  yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi di negara ini menerima Biasiswa Insentif Khas MAIWP 2024/2025 berjumlah RM407,170.

Md Fadzli berkata biasiswa meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, kos penginapan dan bahan pembelajaran berdasarkan perbelanjaan semasa kursus pelajar di universiti masing-masing.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi semangat kepada mereka untuk terus cemerlang dalam pelajaran dan akhirnya memperbaiki keadaan keluarga,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang zakat atas komitmen yang tidak berbelah bahagi menunaikan kewajipan setiap tahun.

Md Fadzli berkata tahun lepas MAIWP memperuntukkan RM10 juta untuk kluster pendidikan bagi membantu pelajar di Labuan.

-- BERNAMA