Pengendali Kereta Api Indonesia Lihat Peningkatan Penumpang Menjelang Ramadan Dan Aidilfitri
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 2 Mac (Bernama) -- Lebih 246,000 penumpang menggunakan perkhidmatan kereta api jarak jauh di seluruh Indonesia dalam beberapa hari kebelakangan ini, susulan peningkatan permintaan menjelang Ramadan, menurut pengendali kereta api negara, PT Kereta Api Indonesia (KAI).
Syarikat itu melaporkan seramai 125,008 penumpang pada 28 Feb, diikuti 69,719 pada 1 Mac dan 51,400 pada 2 Mac, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat selari dengan penjualan tiket, kata Naib Presiden Perhubungan Awam KAI, Anne Purba, dalam satu kenyataan.
“Fenomena pulang awal sebelum Ramadan adalah kebiasaan kerana ramai ingin menyambut hari pertama berpuasa bersama keluarga.
“KAI komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan memastikan kesiapsiagaan operasi, menambah baik kemudahan serta memperkenalkan inovasi bagi meningkatkan keselesaan perjalanan,” katanya.
Anne turut menjangkakan lonjakan perjalanan dengan kereta api akan berterusan menjelang tempoh perjalanan pulang sempena Aidilfitri, dikenali sebagai mudik, yang merupakan antara perjalanan tahunan terbesar di dunia.
Menurut KAI, setakat ini sebanyak 1,393,836 tiket telah terjual, bersamaan 40.47 peratus daripada 3.44 juta tempat duduk yang disediakan bagi tempoh perayaan Aidilfitri 2025.
“Angka ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap perjalanan kereta api sepanjang musim perayaan Aidilfitri,” katanya, sambil menambah bahawa tiket kereta api jarak jauh boleh ditempah sehingga 45 hari lebih awal.
Sebagai negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia, Indonesia menyaksikan jutaan penduduk meninggalkan bandar utama setiap tahun untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan perjalanan udara dan darat, termasuk kereta api dan bas.
-- BERNAMA