Festival Makanan Ramadan ASEAN Putrajaya Tampilkan Hidangan Serantau

03/03/2025 10:37 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Putrajaya bersedia menjadi hab cita rasa Asia Tenggara dengan penganjuran Festival Makanan Ramadan ASEAN Putrajaya (PRAFF) 2025 yang berlangsung bermula pada hari ini hingga 28 Mac.

Festival selama sebulan itu, anjuran Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) dengan kerjasama Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group), diadakan di beberapa lokasi makan terkemuka di sini, iaitu The Everly Putrajaya, DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside, Pulse Grande Hotel dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ketua Pegawai Eksekutif PjH Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata festival itu bertujuan meraikan kepelbagaian budaya ASEAN melalui keunikan tradisi kulinari sekali gus menyatukan masyarakat dalam semangat perpaduan dan penghargaan.

"Festival ini ialah bukti kepada masyarakat dinamik yang dibangunkan di Putrajaya, dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat berkumpul untuk meraikan dan menghargai kepelbagaian budaya ASEAN," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Izwan berkata pencinta makanan boleh menikmati pelbagai hidangan asli dan fusion dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Filipina, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja, dengan setiap hidangan mencerminkan budaya dan seni kulinari di rantau ini.

-- BERNAMA