Tiga Rakan Bebas Tuduhan Edar Dadah, Syukur Sambut Ramadan Dengan Keluarga
SEREMBAN, 28 Feb (Bernama) -- Tiga rakan berpeluang menyambut Ramadan bersama keluarga selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepas dan membebaskan mereka daripada dua pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganggur Nor Maslisza Ramli, 32, jurukimpal Muhammad Azhar Ahmat @Ahmad, 32, dan Shazuan Md Sharif, 34, yang bekerja sendiri, atas pertuduhan itu.
Bagaimanapun Rohani memerintahkan seorang lagi rakan mereka, Muhammad Shafiq Rohmat, 34, juga seorang jurukimpal, membela diri atas pertuduhan sama.
“Tertuduh pertama dipanggil membela diri manakala tertuduh lain dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Selepas ini hati-hati berkawan, jangan bercampur (kawan tak elok) nanti (mendapat) susah,” katanya.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 68.7 gram dan 229.3 gram methamphetamine di sebuah hotel di sini pada 11.40 pagi, 7 Mei 2021 mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Nor Maslisza, Muhammad Azhar dan Shazuan semasa ditemui pemberita, melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu dan menyifatkannya sebagai peluang kedua buat mereka.
“Alhamdulillah, saya terkejut dengan keputusan ini. Boleh menyambut Ramadan dengan keluarga selepas empat tahun berada dalam (penjara). Tak sabar juga hendak jumpa dua anak saya berusia sembilan dan tujuh tahun,” kata Muhammad Azhar.
Shazuan pula menyatakan hasrat untuk melawat kubur ibunya selepas ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh dalam kes itu diwakili peguam Roseli Abdul Gani, S. Paul Krishnaraja, S. Puspanathan, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini, empat individu termasuk tiga warga China iaitu He Jingjing, 36; Cheng Ziyue, 36; Hu Jingjie, 28; dan seorang warga tempatan Tan Wee Jin, 36, didakwa bersama-sama menyediakan barangan untuk penghasilan dadah jenis kokain sebagai persediaan bagi mengedar dadah di Nilai Spring Villas, Nilai pada 6 petang, 17 Feb.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(c) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
JingJing yang tidak diwakili peguam turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu mengedar kokain seberat 2,145 gram.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini manakala Tan diwakili peguam Navin Punj sementara peguam Chang Kai Peng mewakili Ziyue dan Jingjie.
Majistret Syed Farid Syed Ali tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 April ini.
-- BERNAMA