PPZ-MAIWP Lancar Kempen Ramadan 2025, Tawar Pelbagai Kemudahan Dan Hadiah

28/02/2025 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Ramadan 2025/1446H, bertujuan menggalakkan umat Islam menunaikan ibadah zakat dan wakaf sepanjang Ramadan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP Mohammed Hassan berkata kempen bertemakan 'Jiwa Memberi' itu juga bertujuan mempromosikan perkhidmatan, saluran pembayaran, serta program-program menarik yang dianjurkan agensi berkenaan sepanjang Ramadan.

Beliau berkata pada tahun ini, PPZ-MAIWP membawa kelainan dengan menjalin kerjasama bersama rakan strategik dan pembayar zakat iaitu Tudungruffle, Bright Cow dan aplikasi Iman Pro.

“Melalui kerjasama dengan Tudungruffle, 1,000 wanita terawal yang membuat bayaran zakat harta minimum RM1,000 di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP berpeluang menerima cenderahati eksklusif Tudungruffle.

“Saya difahamkan, cenderahati tudung eksklusif Tudungruffle ini direka khas dan tidak dijual, ia hadiah istimewa untuk 1,000 pembayar zakat. Pembayar zakat atau wakaf juga akan menerima sampul raya istimewa PPZ x Tudungruffle,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu di sini hari ini.

PPZ-MAIWP turut berkolaborasi dengan Bright Cow yang memberi peluang kepada 10,000 pembayar zakat atau wakaf terawal di kaunter PPZ-MAIWP menerima kit Ramadan istimewa mengandungi susu kotak dan kurma.

Selain itu, aplikasi Iman Pro menawarkan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari bermula 28 Feb hingga 4 Mac 2025 kepada pembayar zakat PPZ-MAIWP yang memuat turun aplikasi berkenaan.

Mohammed berkata PPZ-MAIWP akan menjalankan pelbagai program khas sepanjang Ramadan, antaranya Program Turun Padang, Program 1 Hari 1 Ilmu, drama pendek Ramadan sebanyak lima episod pada setiap Rabu, dan Ramadan Rewards.

Beliau berkata agensi itu juga menyediakan pelbagai pilihan saluran pembayaran zakat dan wakaf bagi memudahkan orang ramai antaranya 10 kaunter PPZ-MAIWP yang dibuka tujuh hari seminggu, termasuk cuti umum dari 8.15 pagi hingga 4.30 petang kecuali hari terakhir Ramadan hingga 1 tengah hari.

Kemudahan lain yang disediakan, termasuk Aplikasi MyZakat, portal PPZ-MAIWP, Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB), 969 orang amil fitrah yang dilantik, Amil2U (Kaunter Zakat Bergerak & Ride2U), kaunter zakat digital, serta ejen kutipan zakat.

“Kami mengharapkan sokongan semua pihak termasuk rakan media, selebriti, dan pempengaruh untuk menyebarkan dakwah zakat dan wakaf ini agar kemeriahan Ramadan dapat diraikan bersama tanpa mengira darjat serta lapisan masyarakat, terutamanya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati menerusi laman sesawang zakat.com.my/ramadan2025, talian 1300 88 5757 atau e-mel kepada info@zakat.com.my. 

-- BERNAMA