Mi Loka, pemanis mulut istimewa masyarakat Negeri Sembilan ketika Ramadan

10/04/2021 09:33 AM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA PILAH, 10 April -- Mi loka, yang sering menjadi juadah masyarakat di Negeri Sembilan setiap kali menjelang Ramadan adalah hidangan tradisional yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Juadah unik yang menjadi kegemaran orang ‘lama’, mi loka adalah hidangan pengat yang dicampur dengan mi siput, loka menurut dialek Negeri Sembilan bermaksud alas periuk yang dianyam menggunakan lidi.

Ibu Soko berketurunan suku Seri Lemak Minangkabau Lingkungan, Nazariah Mohd Noh, 68, berkata mi loka adalah makanan tradisi Adat Lingkungan dan cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Adat Perpatih di negeri ini.

“Makanan ini amat digemari masyarakat negeri ini terutama orang-orang 'lama’ kerana ia senang dimasak, hanya menggunakan bahan-bahan seperti gula enau, gula pasir, pisang nangka, daun pandan dan santan.

"Penyediaan mi loka ini juga sangat mudah selain enak dicicah dengan roti atau pulut," katanya kepada Bernama selepas Demonstrasi Masakan Kuih Tradisi Berbuka Puasa Adat Lingkungan di Seri Menanti, baru-baru ini.

Nazariah berkata lebih istimewa mi loka boleh dianggap kuih yang dirindui dan ditunggu-tunggu kerana ia dibuat dan dijual pada Ramadan serta terhad selain hanya dijual di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Bagi mengekalkan makanan tradisi itu, beliau memasaknya sendiri di rumah untuk dijadikan juadah berbuka puasa dan kemahiran menghasilkan hidangan berkenaan dipelajari secara turun-temurun daripada ahli keluarganya.

Bagaimanapun, Nazariah berkata juadah itu kini sukar didapati di mana-mana restoran atau pasar malam pada hari biasa, malah, mi loka antara makanan warisan Negeri Sembilan yang semakin kurang dikenali generasi muda sehingga ada yang tidak mengetahui kewujudan pemanis mulut itu.

Selain mi loka, kuih sopang yang diperbuat daripada tepung pulut, santan, gula enau dan kelapa parut muda juga antara kuih tradisi Adat Lingkungan yang menjadi pilihan masyarakat di negeri ini.

Suri rumah, Limah Ali, 73, berketurunan suku Tanah Datar Lingkungan berkata ramai yang menyamakan kuih berkenaan seperti kuih badak berendam berikutan rupa bentuk dikatakan seakan-akan sama.

“Sebenarnya ia berbeza sama sekali. Kuih sopang berbentuk seakan karipap manakala badak berendam berbentuk bulat. Kuih ini juga dihidangkan dengan kuah santan pekat dan hanya mengambil masa sejam untuk memasaknya," katanya.

Limah berkata bagi memastikan kuih tradisional itu kekal serta tidak pupus ditelan zaman, beliau bukan sahaja akan menghidangkan kuih itu pada Ramadan malah turut menjadi hidangan untuk dinikmati keluarga dan jiran tetangga ketika perayaan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Dr Shamsuddin Ahmad berkata program Demonstrasi Masakan Kuih Tradisi Berbuka Puasa Adat Lingkungan bertujuan memperkenalkan juadah berbuka puasa yang mewakili setiap suku dalam Adat Lingkungan.

Ia juga bagi menghidupkan kembali tradisi yang sudah lama ditinggalkan selain mengimbau kembali kemeriahan bulan Ramadan serta tradisi bertukar-tukar juadah terutamanya kuih-muih hasil daripada air tangan Ibu Soko, katanya.

"Jadi kita meminta pakar seperti Ibu Soko yang sememangnya arif dalam menghasilkan kuih tradisional Adat Lingkungan antaranya puteri mandi, kelepung gula enau, kuih sopang, kuih koci dan mi loka untuk diketengahkan kepada masyarakat terutama generasi muda," katanya.

Adat Lingkungan adalah kelompok masyarakat mengamalkan Adat Perpatih yang tinggal di sekitar Istana Besar Seri Menanti manakala Ibu Soko adalah istilah khusus kepada wanita di Negeri Sembilan mahir dan menjadi pakar rujuk dalam pelbagai perkara khususnya berhubung perjalanan adat.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan