Johor giat usaha pam air tangani banjir termenung di Batu Pahat

18/03/2023 03:31 PM

JOHOR BAHRU, 18 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menggiatkan operasi mengepam air sebagai usaha menangani “banjir termenung” di daerah Batu Pahat dan berharap masalah itu dapat diselesaikan sebelum tibanya Ramadan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata meskipun banjir di negeri ini beransur pulih, terdapat beberapa kawasan di daerah itu yang masih digenangi air akibat banjir termenung termasuk Sri Medan, Parit Jelutong dan Parit Raja.

Onn Hafiz yang meninjau operasi pengepaman air banjir di Parit Jelutong, Pintu Air Sungai Senggarang dan Pintu Air Parit Asam Kumbang (di Batu Pahat) berkata kerajaan negeri tidak mahu isu itu berlanjutan dalam tempoh yang lama seperti sebelum ini.

"Bagi mempercepatkan proses penurunan air, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengambil pendekatan untuk mengepam air di kawasan berkenaan.

"Sebanyak 61 pam air berkapasiti 2, 5, 10 dan 20 cusec (kaki padu per saat) sedang beroperasi 24 jam dan 12 pam lagi akan ditambah," katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasminya, hari ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan alternatif lain bagi menyelesaikan isu berkenaan termasuk kerja-kerja mendalamkan sungai utama di daerah terbabit. 

"Misi Pasca Banjir Southern Volunteers juga akan melaksanakan kerja-kerja pascabanjir di daerah Batu Pahat selama empat hari bermula esok dengan kekuatan daripada 11 pihak berkuasa tempatan selain pertubuhan belia, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan badan korporat melibatkan 531 sukarelawan," katanya. 

Seramai 21,079 mangsa banjir masih ditempatkan di 83 pusat pemindahan sementara yang beroperasi di Batu Pahat dan Segamat, setakat 12 tengah hari tadi. 

-- BERNAMA 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan