Lafaz Cerai Puteri Sarah 18 April Ini

10/04/2023 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 18 April ini untuk pengarah filem Syamsul Yusof melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya pelakon Puteri Sarah.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasangan berkenaan mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan mereka secara baik dan aman.

"Pihak-pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara baik dan satu draf perjanjian disediakan, namun pihak kami perlu meneliti dokumen itu terlebih dahulu.

"Oleh itu, kami berbincang agar mahkamah ini tangguhkan dahulu dapatan Jawatankuasa Pendamai (JKP) kerana pada tarikh akan datang, pihak-pihak akan merekodkan penyelesaian dan terus membubarkan pernikahan antara defendan (Syamsul) dan plaintif (Puteri Sarah)," katanya semasa prosiding hari ini yang ditetapkan laporan penuh JKP kedua-dua pihak.

Pada 7 Mac lepas, Hakim Syarie Akmaluddin memerintahkan pasangan berkenaan melantik wakil JKP selepas mendapati tidak terdapat keadaan luar biasa dalam permohonan perceraian Puteri Sarah supaya ia tidak melalui proses JKP, sebaliknya terus kepada hakam keluarga.

Ia berikutan Syamsul enggan menceraikan Puteri Sarah.

Pada 16 Jan lepas, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul, atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 39, secara baik dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Sementara itu, peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Mohd Shamsul mengesahkan perkara tersebut dan memohon supaya satu tarikh lain ditetapkan oleh mahkamah untuk merekodkan penceraian.

"Kami mengesahkan apa yang dinyatakan oleh peguam defendan (Mohd Shamsul) dan tanpa memprejudiskan prosiding kes ini, satu perjanjian telah disediakan memandangkan pihak-pihak baru berjumpa malam tadi. Alhamdulillah, mereka telah mencapai satu sepakat atas terma-terma perjanjian," kata Azmi.

Dalam pada itu, Akberdin ketika ditemui media selepas prosiding itu berkata terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh berkenaan (18 April).

"Terma-terma penyelesaian itu tidak boleh didedahkan sekarang dan pada tarikh itu (18 April), kita akan rekod apa yang boleh direkodkan di mahkamah ini antaranya ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian. Ia meliputi isu-isu berkaitan sebelum dan selepas cerai," kata peguam itu.

Puteri Sarah ketika ditemui media berkata penyelesaian secara baik ini adalah 'sinar' buat dirinya dan Mohd Shamsul serta anak-anak selain beliau tidak mahu bermusuhan antara satu sama lain.

"Semalam, kami berdua berjumpa dan berbincang...kami mencapai kata sepakat dan semua terma serta syarat sudah dipersetujui. Alhamdulillah, mungkin barakah bulan Ramadan. Kami ingin meneruskan hidup dengan tenang dan tidak mahu bermusuh serta berdendam dalam hati," kata pelakon wanita itu.

Mohd Shamsul pula berkata penyelesaian secara baik ini adalah berkat doa daripada insan-insan tersayang dan ibu bapanya selain meminta semua pihak mendoakan yang terbaik untuk dirinya, Puteri Sarah dan anak-anak.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan