Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah

25/04/2023 09:55 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) meneruskan prestasi lemahnya untuk ditutup rendah hari ini berikutan permintaan yang rendah bagi komoditi dan pengambilan untung selepas cuti Hari Raya.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata minyak campuran yang lemah secara meluas telah memaksa minyak sawit untuk diniagakan lebih rendah kerana minyak sawit masih dianggap pada tahap premium berbanding minyak campuran pesaing.

“Pasaran membayangkan eksport minyak sawit Malaysia untuk tempoh 1-25 April mungkin telah menurun sebanyak 15-16 peratus, dan kini tumpuan akan diberikan kepada data pengeluaran minyak sawit 1-20 April daripada Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung (SPPOMA), UOB Kay Hian dan kemudian daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pasaran Indonesia dijangka kembali kepada obligasi pasaran domestik (DMO) sebelum Ramadan mengenai kadar eksport minyak sawit.

“Selain itu, pasaran menyedari levi eksport minyak sawit Indonesia dan duti eksport bagi 1-15 Mei dijangka turun daripada kadar semasa,” katanya.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak Mei 2023 susut RM29 kepada RM4,081 satu tan, Jun 2023 turun RM55 kepada RM3,811 satu tan, dan Julai 2023 jatuh RM70 kepada RM3,635 satu tan.

Selain itu, kontrak Ogos 2023 dan September 2023 turun RM69 kepada RM3,566 satu tan dan RM3,550 satu tan, manakala Oktober 2023 turun RM68 kepada RM3,551 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 71,514 lot daripada 70,774 pada Khamis, manakala kepentingan terbuka susut kepada 204,938 kontrak daripada 206,956 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan turun RM50 kepada RM4,200 satu tan.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti Hari Raya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan