Aktiviti Pelancongan Dekatkan Lee Pada Dakwah Islam

19/07/2023 03:01 PM

MELAKA 19 Julai (Bernama) -- Pengalaman berkhidmat sebagai sukarelawan pemandu pelancong dalam siri jelajah masjid bagi program Jejak Warisan memberi peluang kepada Lee Se Pin mendalami aktiviti dakwah berkaitan agama Islam di negeri ini.

Pemuda berusia 40 tahun  yang merupakan penerima Anugerah Ibnu Uraiqith untuk tokoh bukan Muslim berkata, beliau melihat aktiviti dakwah melalui program sebagai platform terbaik dalam merapatkan jurang antara kaum.

"Saya mula terlibat dan bekerjasama dengan badan-badan NGO Dakwah Islam sejak tujuh atau lapan tahun lepas dan semakin aktif sejak terlibat dengan program Jejak Warisan yang menemukan saya dengan lebih ramai aktivis dalam dakwah Islam ini.

"Semakin lama menyertainya, saya semakin terinspirasi untuk bergiat lebih aktif memandangkan aktiviti dakwah seperti Program Street Dakwah membuka peluang saya membina dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyakat di Malaysia," katanya ketika ditemui media pada Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim di sini hari ini. Pada majlis berkenaan beliau menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai berjumlah RM3,000 disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Datuk Rahmad Mariman.

Beliau yang bertugas sebagai jurubahasa mahkamah juga bersyukur apabila keluarganya sangat memahami niat dan motifnya bergiat dalam aktiviti berkaitan dakwah Islam walaupun berlainan agama dan bangsa.

Sementara itu penerima anugerah utama tokoh Maal Hijrah Datuk Othman Muhamad, 71, berkata idea Taqarrub Ramadan yang dicetuskannya pada 1987 merupakan satu kepuasan terbesar sepanjang beliau bergiat dalam aktiviti dakwah di negeri ini.

"Masa tu, kalau selepas terawih, ramai yang lepak kedai kopi. Jadi kita tukar, buat moreh dan jemput ustaz untuk beri ceramah setiap malam sepanjang Ramadan dan ia bermula dengan 20 masjid ketika itu namun Alhamdulilah, dalam masa 10 tahun, seluruh Melaka tahu dan buat program Taqarrub Ramadan ini.

“Bagaimanapun bukan senang untuk pantau semua masjid dan surau tetapi hasil kerjasama dengan pelbagai pihak, penambahbaikan dari tahun ke tahun serta peruntukan yang diterima,  ia berjaya dilaksanakan," katanya yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka. 

Beliau menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai RM10,000.

--BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan