Kadar Zakat Fitrah Johor Rm7, Rm12, Rm20

07/03/2024 02:57 PM

BATU PAHAT, 7 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM12 dan RM20 seorang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata penetapan itu berdasarkan gred beras yang dimakan pembayar zakat, mengikut kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.6 kilogram.

"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan RM7 untuk pengguna beras jenis Super Tempatan, manakala RM12 untuk pengguna beras selain jenis Super Tempatan iaitu beras import.

"Sementara itu, RM20 bagi pengguna beras jenis Super Wangi dan Basmathi. Ini pertama kali Johor menetapkan tiga kadar zakat fitrah," katanya pada sidang media selepas Program 'MAINJ kan ada' di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 1,660 amil dilantik dan ditauliah bagi menjalankan tugas memungut zakat fitrah di Johor tahun ini, selain bayaran boleh dibuat menerusi tiga cara iaitu melalui aplikasi TULUS, kaunter MAINJ di setiap daerah dan membayar terus kepada amil dilantik.

Mohd Fared berkata umat Islam juga digalakkan menunaikan zakat berkenaan pada awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin dibuat dengan lancar.

"MAINJ mengunjurkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM24.296 juta melibatkan seramai 2.2 juta umat Islam di negeri ini.

"Pengiraan unjuran ini dengan mengambil kira 15 peratus adalah pembayar RM7 dan 70 peratus bagi pembayar RM12 manakala 15 peratus adalah pembayar RM20," katanya.

Bagi bantuan Aidilfitri, Mohd Fared menyatakan MAINJ akan menyumbang bantuan kepada golongan asnaf berjumlah RM14.63 juta, melibatkan 6,911 ketua keluarga fakir dan 31,125 ketua keluarga miskin. 

"Setiap ketua keluarga fakir mendapat RM400 dan RM300 pula bagi setiap ketua keluarga miskin. Tanggungan setiap keluarga fakir dan miskin pula akan mendapat bantuan Aidilfitri RM50 membabitkan 9,588 tanggungan keluarga fakir dan 40,932 tanggungan keluarga miskin," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan