Swcorp Melaka Selamatkan Lebih 500kg Makanan, Minuman Di Tiga Bazar Ramadan

20/03/2024 10:01 AM

Oleh Rashidah Abd Rahim

MELAKA, 20 Mac (Bernama) -- Sebanyak 570.56 kilogram (kg) lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual di tiga bazar Ramadan di Melaka, dapat diselamatkan daripada dibuang di tapak pelupusan sisa pepejal menerusi Kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran sempena Ramadan bermula 16 Mac lepas sehingga semalam.

Pengarah SWCorp Melaka Nor Zaki Md Nor berkata kempen anjuran agensi itu melibatkan Bazar Ramadan Peringgit, Bazar Ramadan Jasin Bestari dan Bazar Ramadan Alor Gajah, dengan penyertaan sebanyak 182 peniaga atau lebih 60 peratus peniaga di setiap satu bazar tersebut.

Beliau berkata lebihan makanan dan minuman yang masih boleh dimakan itu, akan diedarkan kepada golongan memerlukan seperti pelajar institusi pengajian tinggi dan jemaah masjid terpilih.

“Kempen ini kita mulakan pada 16 Mac di Bazar Ramadan Jasin Bestari serta Bazar Ramadan Alor Gajah, manakala Bazar Ramadan Peringgit pada semalam dan pengumpulan lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual daripada peniaga terlibat bermula 7 petang, oleh sukarelawan kempen tersebut.

“Lebihan makanan dan minuman itu akan ditimbang terlebih dahulu sebelum proses pembungkusan semula dilakukan sekiranya perlu, selain memastikan ia boleh dimakan sebelum diedarkan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, Nor Zaki berkata jumlah lebihan makanan dan minuman yang berjaya dikumpulkan di Bazar Ramadan Jasin Bestari dalam tempoh dua hari sebanyak 226.7kg dan Bazar Ramadan Alor Gajah (192.86kg) manakala di Bazar Peringgit yang bermula semalam sebanyak 160kg.

Beliau berkata sebangai contoh, lebihan makanan dan minuman di Bazar Ramadan Peringgit akan diagihkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, melibatkan kira-kira 700 pelajar dan sukarelawan terlibat juga dalam kalangan pelajar institut berkenaan.

“Lebihan makanan dan minuman di Bazar Ramadan Jasin Bestari akan dihantar ke Majid Muhaimin Bemban, Masjid Ayer Merbau dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, manakala bagi Bazar Ramadan Alor Gajah, penerima terdiri dalam kalangan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia,” katanya.

Nor Zaki berkata setakat ini, pelaksanaan kempen tersebut dibantu 96 sukarela termasuk 40 kakitangan SWCorp, selain pelajar IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, UTeM, IKM Jasin dan Pertubuhan Pemuda Gema Melaka.

“Kita mengharapkan lebih banyak penyertaan sukarelawan bagi menjayakan kempen ini bagi memastikan lebihan makanan dan minuman yang dikumpulkan daripada peniaga dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Zaki berkata Melaka mencatatkan penurunan pembaziran sisa makanan sebanyak 2.49 peratus di tapak pelupusan sisa pepejal pada Ramadan tahun lepas dan diharap peratusan berkenaan dapat terus diturunkan pada tahun ini menerusi inisiatif Kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran.

Beliau berkata berdasarkan kajian komposisi sisa pepejal sepanjang tahun lepas, ia mencatatkan penurunan sebanyak 23 peratus berbanding 35 peratus pada 2022.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan