Duta, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Perlu Mahir Pelaburan, Perdagangan

28/03/2024 06:12 PM

SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mahu perwakilan ke luar negara iaitu Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mahir dalam aspek perdagangan bagi membawa masuk pelaburan ke dalam negara.

Beliau berkata selain menjalankan hubungan baik dua hala dengan negara lain, kemahiran dalam meneroka serta menarik pelaburan dan perdagangan penting bagi memacu ekonomi negara.

“Dasar luar negara bukan sahaja mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) biasa iaitu mewujudkan dan mengekalkan demokrasi dua hala tetapi saya nak Kementerian Luar, Duta, Pesuruhjaya Tinggi mahir dalam perdagangan, menarik sebanyak mungkin pelabur ke Malaysia,” katanya di Dewan Tuanku Aishah Rohani, Bangunan NSWO di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Ramadan bersempena Nuzul al-Quran anjuran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti NS) dan Pertiwi Negeri Sembilan.

Mohamad berkata selain peranan menarik pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), adalah lebih afdal sebagai ketua kedutaan, mereka boleh bercakap dan meyakinkan pelabur.

Beliau berkata duta baharu hendak bertugas perlu ditempatkan di MIDA terlebih dahulu supaya arif tentang persekitaran pelaburan dan dapat meyakinkan bakal pelabur ke Malaysia.

Turut hadir pada majlis berkenaan isteri beliau merangkap Yang Dipertua NSWO Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin. 

Pada majlis yang dihadiri 155 peserta, Mohamad turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar dan anak yatim.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan