Skm Melaka Terima Peruntukan Rm100,000 Bangunkan Koperasi Masjid

01/04/2024 10:24 PM

MELAKA, 1 April (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka menerima peruntukan berjumlah RM100,000 daripada kerajaan negeri bagi pembangunan koperasi kariah masjid di negeri itu.

Pengarahnya Mustafa Kamal Mohd Nor berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada koperasi kariah masjid dalam bentuk peralatan perniagaan menerusi pelbagai program termasuk MyBaraqah Hab.

Beliau berkata program MyBaraqah Hab diusahakan Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (Kogmas) melibatkan 13 koperasi kariah masjid di negeri itu.

"Di Melaka terdapat 60 koperasi kariah masjid yang berdaftar di bawah SKM dan 35 daripadanya adalah berstatus aktif termasuk Koperasi Kariah Masjid Al-Alami Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

"Menerusi peruntukan itu juga, kita akan bekerjasama dengan Kogmas untuk membantu koperasi kariah masjid yang tidak mempunyai aktiviti perniagaan dan menjamin usaha sama di bawah program MyBaraqah Hab yang kini mempunyai lebih 20 produk," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Masjid MITC yang turut dihadiri Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Melaka merangkap Pengerusi Kogmas Zaidan Abd Hadi.

Menurut Mustafa Kamal peruntukan tersebut juga akan disalurkan kepada koperasi kariah masjid terlibat sekiranya mereka mempunyai aktiviti perniagaan yang aktif.

Sementara itu, beliau berkata SKM Melaka akan menganjurkan sambutan Hari Koperasi Negara yang dijangka berlangsung di sebuah pasar raya di Ayer Keroh pada Julai depan.

“Kira-kira 25 hingga 50 reruai pameran dan jualan melibatkan koperasi di negeri itu termasuk koperasi kariah masjid akan menyertai karnival tersebut bagi menjual dan mempromosikan produk atau perkhidmatan masing-masing.

“Kita menyasarkan 3,000 pengunjung akan hadir ke karnival sambutan Hari Koperasi Negara itu," katanya.

Terdahulu, Mustafa Kamal berkata Koperasi Kariah Masjid Al-Alami MITC merupakan satu-satunya koperasi kariah masjid yang menganjurkan bazar Ramadan di negeri itu sejak 2019 lagi.

Menurutnya penganjuran bazar Ramadan tersebut memberi peluang kepada 130 peniaga makanan dan minuman menjual produk mereka sekali gus menjana pendapatan sepanjang bulan puasa.  

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan