Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, April 7 (Bernama) -- Konsulat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama penduduk tempatan memeriahkan 10 hari terakhir Ramadan dengan pelbagai aktiviti sosial dan keagamaan.
Konsul Malaysia di Pontianak Azizul Zekri Abd Rahim berkata program dianjurkan dengan kerjasama Pemerintah Kalimantan Barat, organisasi masyarakat dan badan bukan kerajaan seperti Serantau Muslim, yang fokus membantu minoriti Muslim di Asia Tenggara.
“Program yang pertama kali dianjurkan, I’tikaf dan Sahur Bersama, berlangsung hari ini dengan kerjasama Serantau Muslim, pihak pentadbir serta kariah Masjid Darunnajah, Kubu Raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Konsulat berkongsi rezeki dengan menyediakan 250 bungkus hidangan istimewa Malaysia termasuk nasi lemak dan teh tarik yang diagihkan kepada jemaah yang hadir.
Azizul Zekri berkata kemeriahan ibadah I’tikaf dan Sahur di Kalimantan Barat secara umumnya sangat luar biasa kerana penglibatan menyeluruh warga di sana mengimarahkan masjid.
Justeru, pihaknya merancang memperluaskan pelaksanaan program ke masjid-masjid lain pada masa akan datang.
Konsulat melaksanakan Program 5B (Berinfaq, Berbuka puasa, Bertarawikh, Beri’tikaf dan Bersahur) dari 2 hingga 7 April untuk berkongsi rezeki, membantu golongan yang memerlukan dan mengeratkan silaturrahim dengan warga Kalimantan Barat, khususnya warga Pontianak dan Kubu Raya.
Aktiviti sepanjang tempoh berkenaan adalah pemberian juadah berbuka dan barangan keperluan asas kepada kanak-kanak di Pesantren Al-Jihad dan golongan yang memerlukan di Kompleks Meranti Indah, Pontianak Tenggara.
Acara berbuka dan sembahyang tarawih yang diadakan disertai warga Malaysia serta Sahabat Malaysia atau Friends of Malaysia di Kalimantan Barat.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan