Apmm Terima Baki Dua Opv Dalam Tempoh Dua Tahun - Saifuddin

01/04/2024 11:18 PM

KLANG, 1 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima baki dua Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Beliau berkata anggaran tempoh masa tersebut mengambil kira perkembangan semasa pembinaan OPV 2 yang kini di tahap 75 peratus siap, manakala OPV 3 lebih 50 peratus. 

“Walaupun lari daripada jadual penyerahan asal, kementerian ini komited mahu menyiapkan projek tersebut bagi memastikan kesiapsiagaan aset pasukan keselamatan perairan negara berada pada tahap yang optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim Tun Fatimah di sekitar perairan Selangor di sini hari ini.

Saifuddin berkata APMM juga bakal menerima empat unit helikopter baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

Pada Januari lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi dilaporkan berkata perolehan aset itu dijangka siap dalam tempoh dua ke tiga tahun dengan kesemuanya ditempatkan di Pusat Operasi Udara Maritime Sandakan, Sabah bagi memperkukuh operasi APMM di perairan wilayah Borneo.

Mengulas mengenai Op Pagar Laut, Saifuddin berkata setakat ini sebanyak 63 tangkapan telah dibuat melibatkan jumlah rampasan bernilai RM5 juta sejak operasi itu dilancarkan pada 12 Mac lepas.

Beliau berkata pelbagai pelanggaran undang-undang turut direkodkan melibatkan kesalahan menyeludup minyak masak, gas ataupun barangan kontraban seperti rokok tanpa cukai selain menangkap hasil laut secara haram.

Op Khas Pagar Laut yang berlangsung hingga 30 April ini dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di seluruh kawasan perairan negara sempena Ramadan dan Aidilfitri. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan