Lebih 200 pegawai penguatkuasa KPDNHEP Perak ditugaskan di bazar Ramadan

15/03/2022 07:46 PM

IPOH, 15 Mac (Bernama) -- Lebih 200 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan ditugaskan di bazar Ramadan di seluruh negeri itu, untuk membuat pemantauan harga barangan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Negeri Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata ia bagi memastikan peniaga tidak menaikkan sesuka hati harga barang, terutamanya makanan yang berasasaskan ayam, telur dan tepung.

“Jadi, kita berharap peniaga tidak mengambil kesempatan supaya tidak berlaku sebarang kenaikan harga, kerana tidak mahu pengguna berasa terbeban dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya selepas perasmian Karnival Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di sebuah pasar raya di Meru di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata KPDNHEP Perak menerima sejumlah 226 aduan membabitkan pelbagai kesalahan sejak 1 Jan sehingga 13 Mac lalu.

Katanya aduan yang paling tinggi diterima adalah kesalahan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 82 kes, diikuti kesalahan membabitkan harga iaitu sejumlah 58 kes serta kesalahan perkhidmatan yang mengelirukan iaitu 33 kes.

Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata sejumlah 310 kes direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan premis di negeri itu bagi tempoh yang sama.

Katanya antara kes yang paling banyak direkodkan ialah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu sebanyak 220 kes, manakala 63 kes direkodkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta sembilan kes masing-masing di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

-- BERNAMA