Masjid Kristal dibuka semula untuk aktiviti ibadah dan pelancongan

01/04/2022 05:51 PM

KUALA TERENGGANU, 1 April (Bernama) -- Selepas empat tahun tidak beroperasi, Masjid Kristal yang menjadi antara tarikan utama ke Taman Tamadun Islam (TTI) di sini kini dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti ibadah dan pelancongan.

   Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata kerja-kerja pembaikan Masjid Kristal yang bermula pada 2018 telah pun siap dengan perbelanjaan sebanyak RM700,000.

   Bagaimanapun kata beliau, masih terdapat beberapa kerja pembaikan kecil yang lain seperti aspek pencahayaan yang akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong.

   “Selepas sekian lama, Masjid Kristal akhirnya sudah boleh  beroperasi dengan selamat terutama untuk aktiviti ibadah pada bulan Ramadan yang tinggal hanya beberapa hari lagi.

Untuk kerja-kerja penambahbaikan sehingga hujung tahun, kita sedang usaha dapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat dan agensi-agensi berkaitan. Setakat ini maklum balas yang kita terima adalah positif," katanya pada sidang media pengoperasian semula Masjid Kristal hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman.

   Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata walaupun sempadan negara mula dibuka kepada pelancong luar bermula hari ini, pihaknya tetap meletakkan sasaran kedatangan tiga juta pelancong pada tahun ini.

   Menurut beliau, pihaknya perlu memantau perkembangan semasa pada suku pertama dan kedua tahun ini bagi meneliti perancangan dan strategi untuk melonjakkan lagi industri pelancongan negeri.

   “Bagaimanapun setakat tiga bulan pertama ini perkembangan sangat baik apabila empat hotel milik kerajaan negeri kesemuanya mencatat keuntungan sehingga jutaan ringgit," katanya.

 -- BERNAMA