Pesakit anoreksia yang berpuasa perlu dipantau
Oleh Ummu Khalidah Hamzah, Puti Iylia Maisarah dan J. Dhurga
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Pada bulan Ramadan, perhatian khusus harus diberikan kepada pesakit Anoreksia, gangguan emosi berpunca daripada keinginan obsesif untuk menurunkan berat badan dengan enggan makan, kerana mereka mungkin sukar untuk berbuka walaupun selepas tempoh berpuasa berakhir.
Pakar Psikiatri Dr Hijaz Ridzwan berkata pengalaman berbuka puasa boleh menjadi sangat mencabar bagi pesakit Anoreksia kerana mereka sering merasa tidak selesa, baik dari segi fizikal mahupun psikologi.
“Orang yang didiagnosis dengan Anoreksia biasanya takut untuk makan atau menambah berat badan. Jadi semasa iftar mereka sama ada kurang makan atau makan berlebihan. Jika mereka makan terlalu banyak, mereka akan mengeluarkan semula apa yang dimakan atau memuntahkannya dan kemudian diselubungi perasaan bersalah.
“Mereka juga mungkin relaps dan sangsi sama ada mereka akan pulih daripada penyakit itu. Ia bukanlah pengalaman yang mudah bagi mereka untuk mengatasi Anoreksia dan berpuasa pada masa yang sama,” kata Dr Hijaz dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Dr Hijaz yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata satu peratus daripada penduduk Malaysia disahkan menghidap penyakit ini yang biasanya dihadapi oleh wanita muda dan kanak-kanak berusia seawal 10 tahun.
Menurut Dr Hijaz faktor seperti isu personaliti, penyakit mental, trauma lampau dan persekitaran sekeliling boleh menyebabkan seseorang menghidap Anoreksia Nervosa.
“Sejak beberapa dekad yang lalu, kita telah melihat supermodel digambarkan sebagai orang yang berjaya, gembira dan cantik. Pemikiran persona ini telah diajar di Barat termasuk di Asia, iaitu sesiapa yang kurus dianggap cantik, sihat manakala orang yang sedikit gempal dianggap malas, atau tidak sihat. Ini adalah imej yang dilihat oleh anak-anak dan remaja kita yang semakin meningkat apabila mereka membesar,” katanya.
Dr Hijaz juga menekankan bagaimana pesakit Anoreksia harus dipantau dengan teliti bukan sahaja oleh doktor mereka tetapi juga kalangan yang rapat dengan mereka.
“Galakkan mereka berbuka puasa dengan ahli keluarga atau rakan-rakan, kerana kita mahu mereka (pesakit) makan di khalayak ramai supaya mereka tidak kurang atau makan berlebihan dan membina hubungan baik dengan makanan,” katanya.
Selain itu, Dr Hijaz berkata beliau juga akan menyesuaikan jangkaan pesakitnya semasa bulan puasa kerana mereka masih dalam proses pemulihan daripada penyakit itu.
“Berpuasa selama 30 hari boleh menjadi satu tugas yang sukar. Saya sering menasihati mereka untuk mengambil satu langkah pada satu masa. Kita biarkan mereka berpuasa hingga zuhur dan esoknya boleh berpuasa hingga maghrib dan jika tidak berjaya teruskan, tidak mengapa,” jelas beliau.
Sementara itu, Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fairuz Nazri Abdul Rahman berkata ibu bapa perlu mengelak daripada memberi komen negatif mengenai penampilan dan berat badan anak mereka kerana ia akan membawa mereka kepada diet yang tidak sihat.
“Ibu bapa perlu menegur dengan cara yang betul seperti memotivasikan anak-anak untuk bersenam dan mengamalkan pola pemakanan yang sihat di rumah,” katanya.
Pegawai Dietetik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Dr Muhammad Azif Azizi Md Noh berkata spesifik kalori akan diberikan kepada pesakit yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) yang rendah jika mereka masih ingin berpuasa walaupun tidak disarankan.
“Kalori preskripsi ini bersifat individual kerana berat badan setiap individu adalah berbeza, oleh kerana itu pesakit perlu mengikut diet pemakanan dan wajib makan tiga kali sehari iaitu semasa sahur, berbuka dan moreh.
“Selain pemantauan berkala saya juga minta pesakit untuk membuat diari pemakanan seminggu sekali dan dari situ kami akan memantau perubahan berat badan mereka sekali gus mengubah 25 kepada 50 peratus diet pemakanan mereka,” katanya.
Menurut Dr Azif inisiatif yang turut diterapkan kepada ibu bapa ialah ‘Family Based Therapy’ yang merupakan sesi perbincangan antara pesakit dan keluarga.
“Dalam sesi terapi ini kami akan meminta kerjasama ibu bapa untuk menyediakan makanan serta memantau pesakit semasa dan selepas makan bagi memastikan mereka tidak ke tandas untuk muntah atau membuang makanan.
Katanya, pesakit Anoreksia berkemungkinan mengalami tulang rapuh, kekurangan zat makanan dan ketidakseimbangan hormon sekiranya mereka berpuasa secara berpanjangan pada bulan Ramadan.
-- BERNAMA