Puspanita K-KOMM agih 2,000 pek bubur lambuk

20/04/2022 02:57 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Program Seri Ramadan Bubur Lambuk Resepi Istimewa hari ini.

Program anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan K-KOMM (PCK-KOMM) yang dipimpin pengerusinya Datin Seri Hairani Mohd Tajudin menggunakan resipi istimewa arwah ibunya dari Pulau Pinang untuk masakan bubur lambuk itu.

Agihan dilakukan Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek yang juga Penasihat Puspanita Cawangan K-KOMM yang turut ‘turun padang’ mengacau bubur lambuk sekitar 12 tengah hari tadi di pekarangan kompleks K-KOMM di sini. 

Mohammad ketika berucap pada majlis tersebut berkata program tahunan itu melibatkan kerjasama agensi di bawah kementerian dan merupakan hasil aspirasi Keluarga Malaysia bertujuan mengeratkan ukhwah antara semua agensi.

"Kita keluarga K-KOMM bergabung tenaga di bawah kepimpinan pengerusi Puspanita K-KOMM. Terima kasih atas komitmen yang diberikan setiap anggota yang bertungkus lumus memasak lima periuk bubur lambuk sejak pagi," katanya.

Selain warga K-KOMM, program berkenaan turut disertai petugas agensi di bawah K-KOMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan (JaPen), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

-- BERNAMA