'kuih Viral Bajet Rm1' Siti Maimunah Laris Ketika Ramadan
KOTA BHARU, 15 Mac (Bernama) -- Setiap kali Ramadan, peniaga Siti Maimunah Deraman, 64, akan mula menjual lebih 20 jenis kuih-muih di Kampung Tanjong Baru dekat Pantai Cahaya Bulan, di sini, pada harga RM1 sebekas kepada orang ramai.
Beliau berkata gerai yang dikenali 'Kuih Viral Bajet RM1' itu menyediakan kuih-muih seperti onde-onde, puteri mandi, butir nangka dan kek batik dengan setiap satu bekas mengandungi antara tiga hingga lima biji bergantung kepada jenis kuih.
"Kuih-muih ini hasil air tangan saya sendiri selain dibantu anak-anak dan dalam sehari saya mampu jual sebanyak 300 hingga 500 bekas.
"Memang kami jual pada harga murah sebab niat saya ingin bantu orang kampung sambil bersedekah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ibu kepada lapan anak ini berkata idea asal untuk menjual kuih bajet berkenaan timbul pada Ramadan sewaktu negara dilanda wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Ketika itu kami sekeluarga tidak tahu nak buat apa dan berasa bosan sehinggalah timbul idea untuk menjual kuih pada bulan puasa… berniaga sambil beramal.
"Jadi kami mula buat kuih-muih ini pukul 12 tengah hari dan letak di gerai sekitar 3.30 petang. Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai menggalakkan," katanya.
-- BERNAMA