RTM Tampil Rekaan Busana Warisan Negara Menerusi Citra Reka Busana, Syawal Ini

06/02/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Berbeza daripada kelaziman siaran rancangan di kaca televisyen pada Syawal, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kali ini tampil menyajikan program pertunjukan fesyen yang disampaikan dalam bentuk muzikal.

Ketua Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman berkata program ‘Citra Reka Busana’ bakal mempamerkan rekaan busana berkonsepkan warisan dan budaya Malaysia, selain kisah dan sejarah mengenai fabrik, reka bentuk pakaian, corak fabrik dan busana.

Terlibat secara langsung sebagai penulis skrip program ini, Suhaimi berkata menerusi naskah ini pihaknya menjejak semula fesyen dari era sebelum kemerdekaan digayakan masyarakat tempatan sehingga masa kini, dengan menampilkan karya pereka fesyen tempatan. 

“Persembahan (fesyen) ini bukan semata-mata dalam bentuk fashion show dalam runway tapi kita terapkan elemen persembahan Mak Yong antaranya Pak Yong Rosnan akan membuat persembahan, persembahan Zapin Troupe, Inang Cina, muzik Rebab dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lebih menarik, beliau berkata hos-hos Citra Reka Busana juga akan menyajikan halwa telinga buat penonton dengan mendeklamasikan puisi dan gurindam, mempersembahkan karya itu dalam loghat tempatan seperti loghat Pantai Timur dan loghat Utara.


 Program berdurasi kira-kira dua jam itu bakal disiarkan pada 9 malam 5 April di saluran TV2 dan juga boleh ditonton menerusi RTMKlik.

Ditanya mengapa memilih untuk menyiarkan program itu pada musim perayaan, Suhaimi berkata pihaknya mahu lari daripada stereotaip kandungan siaran semasa pada musim perayaan.

“Kita merasakan, ini adalah antara kandungan untuk dieksport, kalau kita (RTM) tidak mulakan kandungan sebegitu, apa yang ada pada kita? Contohnya kalau kita tengok, Korea maju ke depan kerana kandungan yang bagus, jadi, kenapa kita tidak mula dengan budaya dan juga sejarah fabrik kita sendiri?

“Itu membuatkan saya menulis skrip itu. Pada saya, yang penting sekarang ialah bagaimana kita memberikan bukan sahaja hiburan tapi juga pelajaran dan sikit kelainan… itu sangat penting. Itulah kelainan kita,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata RTM sedang menggiatkan usaha dalam menghasilkan kandungan pelbagai bahasa untuk tontonan antarabangsa, disiarkan menerusi RTMKlik, yang kini mempunyai audiens dari negara Eropah, Amerika Selatan, Afrika dan Asia.

“Tujuan kita untuk bukan sahaja membawa tontonan kita ke merata dunia dan kita bakal membawa kandungan-kandungan kita untuk juga dijual dan supaya ada penggunaan dalam stesen televisyen antarabangsa,” katanya ketika ditanya mengenai program masakan berbahasa Inggeris ‘Feast of Champion’ yang bakal disiarkan di saluran Sukan RTM pada bulan Ramadan ini. 

‘Feast of Champion’ yang mengintegrasikan seni kulinari dan sains nutrisi masakan, menampilkan atlet negara termasuk pelumba kereta Keifli Othman dan perenang Steve Khiew, berkongsi tips diet sihat yang diamalkan mereka. 

-- BERNAMA