Syarat tambahan terhadap jemaah haji mungkin diketahui seawal Ramadan - Ahmad Marzuk

15/03/2021 02:43 PM

KOTA BHARU, 15 Mac -- Kerajaan dijangka mengetahui tentang syarat tambahan yang mungkin ditetapkan oleh Arab Saudi untuk jemaah haji seawal Ramadan ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata ini termasuk kemungkinan mewajibkan bakal jemaah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang mungkin berpeluang menunaikan ibadah tersebut pada tahun ini bersedia untuk memenuhi syarat berkenaan.

“Kita tidak mahu pada saat akhir yang mana kuota sudah ada, namun berlaku situasi yang tidak mengizinkan,” katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang,  di sini hari ini.

Mengenai persiapan di peringkat kerajaan, beliau berkata kertas cadangan mengenai penghantaran jemaah haji telah siap dan akan dibawa ke kabinet untuk dibincangkan.

“Bagaimanapun, perkara ini bergantung pada situasi pandemik COVID-19,” katanya.

Malaysia sebelum ini dilaporkan menerima tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksana selepas pandemik COVID-19 terkawal dan peluang menunaikan ibadah itu dibuka semula. 

Terdahulu pada majlis hari ini, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa  menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM30,000 kepada 70 penerima merangkumi petani dan nelayan yang terkesan oleh musim tengkujuh dan kemarau.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan