HDC santuni anak-anak yatim sempena Ramadan, sumbang RM20,000

06/05/2021 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei -- Halal Development Corporation (HDC) hari ini menyantuni anak-anak yatim dan miskin di Rumah Bakti Nur Syaheera Cheras melalui penyerahan bantuan Ramadan berbentuk barangan elektrik, mesin jahit dan wang berjumlah RM20,000.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata selain membantu anak-anak yatim dan miskin dari segi kewangan, program tahunan tanggungjawab sosial korporat HDC itu juga adalah inisiatif bagi pembangunan bakat mereka. 

"Insya-Allah program ini kita akan teruskan, program ini berkaitan dengan program pembangunan bakat, peningkatan kemahiran dan pemahiran semula tenaga muda untuk menjadi pakar dalam industri halal.

"Kita akan tengok perkembangan mereka dan sekiranya kita nampak mereka mempunyai potensi, kita akan serapkan ke dalam program-program pembangunan bakat yang sudah lama HDC laksanakan,” katanya selepas penyampaian majlis serahan bantuan di sini hari ini.

Antara sumbangan lain yang disalurkan ialah barangan kebersihan diri dan peralatan sekolah.

HDC turut melaksanakan sesi kesedaran halal kepada anak-anak yatim dan miskin terbabit yang bertujuan memberi maklumat serta pendedahan kepada mereka mengenai konsep halal sebagai gaya hidup dan peluang pekerjaan di dalam industri ini. 

Selain itu, beliau berkata pihaknya telah mewujudkan lebih 60,000 kakitangan halal berkemahiran bekerja di syarikat yang mempunyai sijil halal di dalam dan luar negara sejak penubuhan HDC. 

Hairol Ariffein berkata selain melatih bakat serta mengilap keupayaan graduan universiti dan lepasan kolej vokasional, HDC melatih anak-anak muda menerusi program seumpama ini.

-- BERNAMA



 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan