Steinbruckner Tagih Tfc Kekal Rentak Kemenangan

03/04/2023 04:06 PM

KUALA NERUS, 3 April (Bernama) -- Skuad Penyu ditagih supaya mengekalkan rentak kemenangan yang dicapai sebelum ini apabila bertemu Kelantan FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berkata semua pemain perlu bekerja keras dan mengelak kesilapan mudah bagi memastikan skuad Penyu terus pulang dengan tiga mata.

"Selepas kemenangan Jumaat lepas, kami segera melihat kepada lawan seterusnya iaitu Kelantan.

"Saya harap pemain dapat mengekalkan momentum dan buat yang terbaik untuk mengutip tiga mata daripada perlawanan penting esok,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di SSMZA Gong Badak, di sini.

Selain itu, Steinbruckner turut menggesa pemain supaya menjaga aspek kesihatan kerana jadual perlawanan yang agak padat pada Ramadan ini.

Sementara itu, tonggak import skuad Penyu, Jordan Mintah berharap dapat pulih daripada kecederaan dan kekal beraksi pada perlawanan menentang skuad Kijang Emas.

Selepas berjaya meledak gol pertamanya musim ini ketika perlawanan menentang Kelantan United FC (KU) Jumaat lepas, Mintah akui semakin bersemangat untuk  membantu skuadnya mencipta kemenangan.

"Saya sentiasa bekerja keras dan memberikan 100 peratus kepada pasukan.

“Sudah tentu saya gembira dapat menjaringkan gol pertama saya minggu lepas. Tapi tidak kira sesiapapun yang menjaringkan gol...yang penting adalah kemenangan pasukan,” katanya.

TFC kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan manakala Kelantan FC di tangga kesebelas dengan empat mata.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan