Penang Fc Kekalkan Momentum Kemenangan

28/04/2023 09:22 AM

GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Penang FC berjaya mengekalkan momentum kemenangan dengan menewaskan Kuching City FC 2-1 di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi.

Penolong ketua jurulatih Penang FC Manzoor Azwira Abd Wahid berkata beliau berpuas hati dengan aksi pasukan Harimau Kumbang walaupun ada pemain yang tidak dapat diturunkan akibat terlibat dalam kemalangan di Balik Pulau baru-baru ini.

“Kita sudah berjanji bersama pemain untuk mendapatkan semaksimum yang boleh dalam Liga Super. Sepanjang Ramadan, saya cukup berpuas hati dengan (prestasi) pemain walaupun masih banyak yang perlu dibaiki,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Mengenai dua pemain yang cedera dalam kemalangan itu dan tidak dapat menyertai kesebelasan utama malam tadi, Manzoor Azwira mengakui keadaan itu agak mengganggu perancangan perlawanan dan berharap insiden berkenaan dapat dielakkan selepas ini.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Kuching City FC Sulaiman Hussin berkata anak buahnya menunjukkan aksi yang agak baik dalam perlawanan malam tadi.

"Pada suku pertama, kesilapan yang kita lakukan ialah memberi peluang kepada Pulau Pinang bangkit dalam perlawanan. Kesilapan-kesilapan mudah harus kita elakkan," katanya.

Harimau Kumbang yang berada di tangga kelapan liga dijadualkan menentang Sri Pahang FC yang berada di tangga keempat liga pada 20 Mei ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kuching City FC yang berada di tangga ke-12 pula akan berhadapan dengan Harimau Selatan (JDT) yang berada di tangga pertama pada 19 Mei ini di Stadium Negeri Sarawak.

-- BERNAMA 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan