Ribut petir badai Sibu

06/04/2023 10:20 AM

SIBU, April 6 (Bernama) -- Ribut petir yang menggerunkan telah membadai bandar Sibu kira-kira 6 petang semalam, ketika umat Islam sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa, telah menyebabkan kerosakan teruk.

Pokok tumbang, bumbung berterbangan dan tersangkut pada talian elektrik dan telekomunikasi serta jarak penglihatan rendah menyebabkan penduduk Sibu mengalami trauma kerana tidak pernah melihat kejadian sedemikian sebelum ini.

“Saya tidak dapat lihat apa-apa. Aliran trafik juga sangat perlahan,” kata Lerry Silas, seorang guru serta penganut Katolik yang akan menyertai program amal khas sempena Minggu Suci dan Good Friday menjelang perayaan Easter minggu ini.

Keadaan trafik juga sesak susulan masyarakat Cina yang baharu pulang daripada sambutan Festival Ching Ming pagi semalam keluar untuk makan malam atau mengunjungi bazar Ramadan untuk mencari juadah menarik di Dataran Bandar Sibu Fasa Dua.

Menurut rakaman video tular di platform media sosial, suasana kelam kabut dengan jeritan peniaga dan pelanggan yang dilihat berpaut pada tiang khemah bagi menghalang angin daripada menerbangkan khemah selain petir menyambar.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting Ing Horh dalam catatan di laman Facebook berkata Jalan Merdeka Barat kelihatan seperti medan perang dengan kejadian pokok tumbang.

Beliau juga turun padang untuk memantau kerja-kerja pembersihan yang dilakukan membabitkan pekerja majlis, bomba, kakitangan Jabatan Kerja Raya dan Pasukan 4x4 Sibu di sepanjang Jalan Merdeka Barat, Jalan Wong Soon Kai, Brooke Drive, Jalan Merdeka, Jalan Au Yong, Jalan Cherry dan Jalan Pahlawan.

“Ia adalah hari yang luar biasa, jarang melihat keadaan ribut menggerunkan berlaku selama 45 minit. Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” menurut catatan beliau.

Dalam video lain yang turut tular, satu unit rumah flat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berlaku kerosakan teruk selepas tembok roboh.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kejadian ribut itu dan memaklumkan enam flat kediaman anggota polis dan keluarga mereka mengalami kerosakan akibat angin kencang.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan