Prudential Bsn Takaful, Yayasan Myprihatin Agih Sumbangan Prihatin Ramadan

09/04/2023 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melalui badan amal di bawahnya PruBSN Prihatin menyalurkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada lebih 750 penerima daripada golongan kurang berkemampuan menerusi Program Sumbangan Prihatin Ramadan di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

Program dengan kerjasama Yayasan MYPRIHATIN itu merupakan antara inisiatif pelbagai sempena bulan yang mulia ini bagi meringankan beban golongan B40 dengan menyalurkan bantuan keperluan barangan asas seperti pek barangan makanan dan bubur lambuk serta sumbangan Hari Raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata program itu seiring dengan konsep Raya dan Ramadan syarikat berkenaan pada tahun ini iaitu ‘Manisnya memberi, Berkongsi rezeki’. 

“Sebagai syarikat takaful, konsep takaful ini adalah membantu sesama sendiri dan aspirasi kami di PruBSN adalah membantu masyarakat memanfaatkan kehidupan mereka sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas program itu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini hari ini. 

Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Pemasaran Prudential BSN Takaful Berhad Teh Siew Peng dan Timbalan Pengerusi Yayasan MYPRIHATIN Rahimi Abd Karim.

Selain program itu, Wan Saifulrizal berkata PruBSN turut mengadakan kempen One Donation, One Family yang membolehkan orang ramai menderma dan seterusnya digunakan untuk menyediakan perlindungan takaful khusus untuk golongan B40 secara percuma di bawah program PruBSN Mikrotakaful Jariyah dengan nilai perlindungan sebanyak RM10,000 dalam tempoh satu tahun.

“Kempen ini dibuka kepada semua sehingga 21 April ini dan sumbangan boleh dibuat ke akaun PruBSN Prihatin (Standard Charted Saadiq) di nombor akaun 312409962689. 

“Setakat ini, PruBSN Mikrotakaful Jariyah telah pun mengeluarkan lebih 100,000 sijil perlindungan dan manfaat kematian sebanyak hampir RM3 juta telah dituntut oleh waris kepada orang yang dilindungi,” katanya. 

Sementara itu, seorang penduduk PPR Taman Mulia yang menerima bantuan Prihatin Ramadan Nor Afizah Mohamed, 39, berkata ini merupakan bantuan kali pertama yang diterimanya selepas tidak bekerja disebabkan pandemik COVID-19.

“Saya bersyukur kerana mendapat bantuan barangan dapur sebegini. Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan sedikit bebanan untuk keluarga dan anak-anak,” katanya kepada Bernama. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan