Pembinaan Masjid Hasil Sumbangan Rakyat Malaysia Beri Manfaat 10,000 Penduduk Lubnan

28/06/2023 02:12 PM

Daripada Mohd Afiq Zulkifli

BEQAA (Lubnan), 28 Jun (Bernama) -- Pembinaan sebuah masjid hasil sumbangan rakyat Malaysia di Bar Elias, di sini bakal memberikan manfaat kepada lebih 10,000 penduduk tempatan termasuk pelarian Syria yang berada di kem berdekatan kawasan itu.

Pembinaan masjid seluas 913 meter persegi itu yang turut merangkumi pusat tahfiz dan dewan dijangka mengambil masa selama 20 bulan dengan dana pembiayaan adalah sumbangan penuh daripada rakyat Malaysia yang disalurkan melalui Aman Palestin (AP).

Pengurus Union of Relief and Development Associations (URDA) yang bertindak sebagai pelaksana projek AP bagi pelarian Syria, Omar Janoun berkata pembangunan masjid itu yang sudah dimulakan sejak April lepas kini telah selesai pada fasa pertama iaitu penyediaan tapak.

“Pada fasa pertama, kami terpaksa menggali dan menggantikan tanah yang lembut dengan meletakkan batu kerikil bagi membina lapisan konkrit sebelum dapat memulakan pembinaan asas seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Bar Elias ialah sebuah perkampungan kepada Wilayah Beqaa, iaitu kira-kira 60 kilometer dari ibu negara Lubnan, Beirut dan menjadi laluan transit antara Beirut dengan Damsyik, Syria.

Omar berkata pihaknya menghargai sumbangan rakyat Malaysia dalam merealisasikan pembinaan masjid itu yang telah tertangguh sejak 2019 kerana kekurangan dana selepas negaranya berdepan krisis politik dan ekonomi.

“Kira-kira enam tahun yang lalu, ramai pihak yang tampil memberikan sedekah yang akhirnya kami berjaya membeli tanah untuk dijadikan tapak masjid, namun pada 2019 kami mempunyai sedikit masalah dari segi pengumpulan dana.

“Alhamdulillah, selepas lawatan pasukan AP pada tahun lepas dan diberikan taklimat kepada mereka mengenai pentingnya pembinaan masjid ini khususnya bagi pelarian Syria menunaikan solat berjemaah terutamanya solat Jumaat, akhirnya pihak AP bersetuju untuk membiayai pembinaannya,” katanya.

Omar berkata, ketika ini masjid yang terdekat dengan kem pelarian Syria Bar Elias ialah kira-kira tiga kilometer, namun hubungan jalan raya untuk ke masjid itu sukar bagi mereka yang tidak mempunyai pengangkutan dan akan membahayakan kanak-kanak Syria yang masih kecil. 

Sementara itu, Ketua Misi Korban AP di Lubnan bagi pelarian Syria, Mohd Salmi Mohamed berkata ini adalah projek kedua dan terbesar pembinaan masjid hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk kegunaan pelarian Syria di Lubnan selepas kali pertama pada 2019 di kem pelarian Syria, al-Yasmin.

“Untuk projek ini, kami telah mulakan kutipan wakaf khusus bermula awal Ramadan lalu dan sehingga kini masih memerlukan sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM600,000 bagi menampung keseluruhan pembinaan masjid tersebut yang dianggarkan sebanyak RM4 juta,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan