Jawi, Maiwp Tubuh Tabung Rahmah Madani Di Masjid-masjid Bantu Asnaf

01/11/2023 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Rahmah MADANI (TRM) di masjid-masjid di ibu negara bagi menyalurkan sumbangan segera kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan kecemasan.

JAWI dalam kenyataan hari ini, memaklumkan agihan peruntukan menerusi keseluruhan dana sumbangan MAIWP berjumlah RM2.06 juta itu disalurkan kepada 40 masjid meliputi enam zon di sekitar Kuala Lumpur.

“Keutamaan bantuan diberikan kepada penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan warganegara Malaysia, pemohon yang terputus perbelanjaan sara hidup serta kes-kes tertentu yang difikirkan sesuai untuk dipertimbangkan.

“Kekerapan bagi seseorang menerima bantuan kecemasan pula dipertimbangkan dua kali dalam tempoh setahun dengan kadar maksimum RM200 bagi setiap permohonan sebagaimana dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP) TRM,” menurut kenyataan itu.

JAWI turut memaklumkan TRM juga diperluaskan bagi tujuan pembayaran elaun di bawah Program Khidmat Asnaf dengan memberi peluang pekerjaan kepada dua asnaf di 40 masjid terpilih untuk menjalankan perkhidmatan sosial seperti pembersihan dan kerja-kerja kebajikan di masjid.

“Kadar elaun yang ditetapkan adalah RM50 sehari bagi tempoh empat jam bekerja dan tidak melebihi 15 hari sebulan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu inisiatif penubuhan TRM merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempergiatkan lagi bantuan kepada golongan memerlukan berpusatkan masjid selaras dengan teras Kesejahteraan Insan yang terkandung dalam agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah) dan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2021-2024.

JAWI juga menyarankan agar institusi masjid menjadi tempat agihan dana dan sumbangan kepada masyarakat memerlukan sekali gus menarik masyarakat untuk mendekati institusi tersebut sebagaimana kejayaan program kebajikan sebelum ini seperti Gerobok Rezeki Masjid, Iftar Rahmah Ramadan dan JAWI Food Bank.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata keseluruhan dana RM2.06 juta itu akan disalurkan melalui mekanisme dan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi memastikan permohonan itu tulen.

“Jika sekadar hendak beri bantuan, takut pemohon tidak layak dan apabila ada SOP, pengerusi-pengerusi masjid ini perlu menyediakan laporan kepada MAIWP, dan melalui laporan itu MAIWP akan kawal selia untuk pastikan bahawa wang bantuan sampai kepada sasarannya,” katanya selepas merasmikan TRM di sini, hari ini.

Beliau berkata TRM dilancarkan bukan sahaja untuk mendekatkan masyarakat kepada masjid malah masjid dapat menjadi institusi menerima sedekah, wakaf dan wang tunai daripada masyarakat selain prihaitn dengan masalah kariah setempat.

“Di bawah JAWI terdapatnya 90 masjid, tetapi kita mulakan dengan 40 masjid terpilih dan pengerusi-pengerusi dan pegawai masjid diamanahkan untuk meluluskan permohonan-permohonan bantuan sama ada wang tunai atau perkhidmatan,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan