Pusat Pemulihan Dan Rumah Pemurnian Syariah Islam Johor Beroperasi Julai Tahun Depan

29/11/2023 02:23 PM

ISKANDAR PUTERI, 29 Nov (Bernama) -- Pusat Pemulihan dan Rumah Pemurnian Syariah Islam (pemurnian akidah) bagi membantu individu atau kelompok terlibat dengan ajaran dan amalan sesat, akan mula beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata pusat pemulihan itu akan menempatkan mereka yang disabitkan kesalahan jenayah berkaitan akidah mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, untuk diberikan kesedaran dan kaunseling.

Selain itu, pusat pemulihan berkenaan juga menempatkan golongan yang disabit kesalahan jenayah Mahkamah Syariah atas kesalahan mengamalkan hubungan sesama jantina atau LGBT, katanya.

“Kewujudan pusat pemulihan bagi mereka yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini merupakan kali pertama diadakan di Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM400,000 untuk pusat pemulihan itu yang terletak di Jalan Dato’ Menteri, Johor Bahru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu berkata kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM15 juta setahun kepada Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dakwah termasuk bagi menyantuni kebajikan golongan mualaf di Johor.

Menurutnya, sebanyak 2,845 individu telah berdaftar memeluk agama Islam sejak 2020 hingga November tahun ini, melibatkan pelbagai latar belakang kaum antaranya Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Orang Asli serta warga asing dari Filipina dan Vietnam.

"Pertubuhan ini berperanan melaksanakan Modul Pengajian Islam berkaitan Akidah, Ibadah, Muamalat, Sirah, Akhlak dan Pengajian Al-Quran. Selain itu, ia juga berfungsi memberi bimbingan keagamaan kepada mualaf dalam usaha mempertingkatkan syiar Islam dan menjaga kebajikan mereka,” katanya

Antara kursus dijalankan ialah Islam Pilihanku, Kem Sinar Ibadah, Majlis Iftar Ramadan, Program Ziarah Riadah, Kursus Tahsin Al Quran dan Sambutan Maulidur Rasul.

Beliau menjawab soalan Abdul Aziz Abdul Talip (PN-Maharani) berhubung jumlah saudara baharu sejak 2020 hingga sekarang dan status pemantauan serta rancangan pemurnian akidah kepada mereka serta umat Islam secara keseluruhan di Johor.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan