Dun Melaka Ucap Tahniah Kepada Sultan Ibrahim Atas Pelantikan Sebagai Yang Di-pertuan Agong

05/03/2024 02:14 PM

MELAKA, 5 Mac (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah atas pelantikan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam berkata beliau yang mewakili DUN Melaka, kerajaan negeri dan rakyat Melaka, turut mengambil kesempatan untuk menyembah junjung kasih dan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas segala hal dan urusan berkaitan kepentingan rakyat.

“Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, baginda telah berkenan memasyhurkan sebanyak dua masjid di Melaka iaitu Masjid Al-Sultan Abdullah di Masjid Tanah pada 2019 dan Masjid Ar-Razak, Pasir Puteh, Bachang pada 2023.

“Sempena kunjungan baginda ke Melaka, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta mencemar duli bertemu dengan rakyat Melaka di bazar Ramadan.

“Sesungguhnya, kerajaan negeri dan seluruh rakyat Melaka menjunjung kasih atas jasa dan kasih sayang Kebawah Duli Tuanku kepada negeri ini,” katanya ketika berucap pada Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Hadir sama isterinya Toh Puan Asmah Ab Rahman, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari.

Sementara itu Mohd Ali berkata Melaka merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM45.5 bilion pada 2022 berbanding RM41.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata ekonomi negeri Melaka juga berkembang pada kadar 8.6 peratus pada 2022 manakala pendapatan perkapita turut meningkat kepada RM50,407 pada 2022 berbanding RM44,679 pada 2021.

“Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang tertinggi ekonomi negeri iaitu sebanyak RM23 bilion atau 50.5 peratus manakalan sektor pembuatan menjadi penyumbang kedua tertinggi iaitu RM16.9 bilion atau 37.2 peratus.

“(Ia) diikuti sektor pertanian sebanyak RM4.5 bilion (10 peratus) dan sektor pembinaan sebanyak RM943 juta (2.1 peratus),” katanya.

Mohd Ali turut menyarankan agar pihak universiti agar sentiasa konsisten dalam menjalankan kajian serta penyelidikan dan pembangunan agar ia boleh menjadi sumber pendapatan baharu dan berterusan kepada Melaka.

Beliau berkata selain pemerkasaan pelajar dalam bidang akademik, pemberdayaan bidang Pendidikan dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu diberi perhatian terutamanya penyertaan golongan belia.

“Justeru, saya menyeru semua institusi TVET di negeri ini perlu memainkan peranan signifikan dalam pembangunan bakat serta kemahiran tinggi pelajar di samping mempelbagaikan kursus-kursus berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan