Kerajaan Johor Rancang Buka Semula Litar Pasir Gudang

06/03/2024 11:18 AM

JOHOR BAHRU, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan Johor merancang untuk membuka semula Litar Pasir Gudang atau Johor Circuit yang ditutup sejak sembilan tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perancangan bagi membuka semula litar itu.

Beliau berkata pembukaan semula litar berkenaan yang akan menelan kos tinggi dapat menjadi gelanggang latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team yang disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.

“Apabila ada JDT Racing Team di Johor, ramai yang bertanya tentang Litar Pasir Gudang, namun (mengikut) kajian semula, ia akan libat kos yang agak tinggi untuk baik pulih.

“Jadi, insya-Allah saya dan menteri besar akan menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim untuk dipertimbangkan litar ini dibuka semula untuk latihan Hafizh Syahrin dan penggiat permotoran dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Kotak Makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ)  dan Penyerahan Bantuan Kembali ke Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin pembukaan semula litar tersebut.

Mohd Hairi turut berharap pembukaan semula litar itu dapat merancakkan lagi sukan permotoran, sekali gus menjadi lokasi pilihan penggiat sukan tersebut.

Oktober lepas, JDT melebarkan sayap dengan menceburi sukan permotoran bersama Hafizh yang akan bersaing pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.

Litar Pasir Gudang yang dibina pada 1986 telah ditutup sejak 2016 untuk pengubahsuaian.

Terdahulu, YSIJ menyumbang lebih 600 kotak makanan sempena Ramadan buat penduduk Larkin serta bantuan awal persekolahan kepada 200 kanak-kanak di DUN itu. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan