15 Kes Berkaitan Cuaca Panas Setakat Ini - Dzulkefly

09/03/2024 03:09 PM

KUALA NERUS, 9 Mac (Bernama) -- Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dikesan berlaku di seluruh negara bermula minggu pertama tahun ini hingga semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat kes berkaitan strok haba dan 11 kes mengenai kelesuan haba.

Beliau berkata tujuh kes dikesan masing-masing berlaku di Perak dan Kedah, manakala satu kes di Sabah melibatkan golongan pertengahan berumur 17 hingga 50 tahun.

“Daripada jumlah itu, ada juga melibatkan anggota badan beruniform kerana mereka terdedah dengan cuaca panas semasa latihan dan sebagainya.

“Namun, kesemua pesakit dikesan di peringkat awal dan 14 daripada mereka telah sembuh serta dibenarkan keluar wad, manakala seorang lagi pesakit yang sebelum ini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) (di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah) telah dipindahkan ke wad biasa dan keadaannya stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wellnes Hub Terengganu di pekarangan Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Dzulkefly berkata bagaimanapun, kes berkaitan cuaca panas di negara ini masih terkawal dan orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi cuaca panas terutama menjelang bulan Ramadan nanti.

“Rancang aktiviti terutama di luar rumah pada bulan Ramadan ini. Elakkan (berada di luar) pada waktu puncak cuaca panas iaitu antara pukul 11 pagi hingga 4 petang. Pastikan pakai pakaian yang sesuai. Perlu juga diawasi golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata terdapat 33 Wellness Hub diwujudkan di seluruh negara sehingga kini dalam usaha menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti setempat.

Wellness Hub di Terengganu yang dirasmikan hari ini katanya, telah mula beroperasi pada 24 Feb lepas dengan menyediakan 13 pakej perkhidmatan kesejahteraan kesihatan antaranya saringan faktor kesihatan, pengurusan berat badan dan perkhidmatan berhenti merokok. 

“Wellness Hub Terengganu ini penting dalam menggalakkan tingkah laku sihat, mengurangkan prevalen penyakit kronik serta penyebaran penyakit berjangkit.

“Besarlah harapan saya agar agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin komuniti dan persatuan turut berganding bahu memainkan peranan dalam memperkukuh perkhidmatan kesejahteraan kesihatan secara holistik kepada rakyat Terengganu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan