Kadar Zakat Fitrah Di Kelantan Ditetapkan Rm7 Tahun Ini - Maik

10/03/2024 07:54 PM

KOTA BHARU, 10 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan harga zakat fitrah bagi tahun ini adalah sebanyak RM7.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata bagaimanapun, mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan menurut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

Beliau berkata Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah mengampuni perkenan mengenai ketetapan Harga Zakat Fitrah dan Kadar Nisab Zakat Harta Negeri Kelantan bagi 1445H/2024M.

“Kadar Nisab Zakat Harta bagi Negeri Kelantan 1445H/2024M adalah sebanyak RM23,831 untuk haul antara Ramadan 1445H hingga Ramadan 1446H,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pembayaran zakat katanya, boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi portal MAIK zakat.e-maik.my.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan ini. 

“Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan 1445H ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan