Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi ​dalam Keadaan Simpanan Stok Rendah

11/03/2024 10:07 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin dalam keadaan simpanan stok MSM lebih rendah di negara ini yang menyebabkan bekalan terhad di pasaran, kata penganalisis.

Peniaga minyak sawit David Ng yang memetik laporan prestasi industri terkini oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk Februari 2024 berkata, stok MSM negara mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh bulan sejak Julai 2023 kepada 1.92 juta tan daripada 2.02 juta tan pada Januari 2024.

Bercakap kepada Bernama, katanya peningkatan niaga hadapan itu turut didorong oleh harga minyak kacang soya yang kukuh.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan rintangan pada RM4,250 satu tan,” katanya.

Menurut MPOB inventori MSM menyusut 2.85 peratus kepada 1.03 juta tan pada Februari berbanding 1.06 juta tan pada Januari.

Katanya eksport minyak sawit susut 24.75 peratus kepada 1.02 juta tan pada Februari daripada 1.35 juta tan pada Januari manakala eksport oleokimia meningkat 0.77 peratus kepada 255,163 tan pada Februari daripada 253,204 tan sebelum ini.

Penganalisis lain pula berkata, pasaran pada masa ini menumpukan kepada jumlah eksport dan pengeluaran pada Mac serta permintaan yang kembali semula menjelang Ramadan yang bermula esok.

CGS International Futures Malaysia Sdn Bhd dalam nota hari ini berkata MSM telah menerima rangsangan daripada sentimen positif mengenai bekalan yang terhad ketika persidangan industri di Kuala Lumpur minggu lepas, yang menyaksikan pasaran optimis terhadap kebimbangan mengenai pengeluaran yang lembap di Asia Tenggara.

“Peserta pasaran menjangkakan eksport lebih tinggi dari Malaysia dalam tempoh 10 hari pertama pada Mac selepas menyusut selama empat bulan.

“Bagaimanapun, premium minyak sawit dan harga yang tinggi boleh mengehadkan permintaan eksport,” katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2024 dan April 2024 masing-masing meningkat RM27 kepada RM4,208 satu tan dan RM4,206 satu tan, manakala Mei 2024 menokok RM37 kepada RM4,131 satu tan dan Jun 2024 naik RM47 kepada RM4,029 satu tan.

Sementara itu, Julai 2024 menokok RM51 kepada RM3,921 satu tan dan Ogos 2024 naik RM49 kepada RM3,847 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 64,330 lot daripada 89,225 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 274,991 kontrak daripada 276,573 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan meningkat RM10 kepada RM4,230 satu tan daripada RM4,220 satu tan pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan