Umt Sedia Rm7,000 Sehari Teruskan Program Iftar Ramadan

14/03/2024 12:03 PM

KUALA NERUS, 14 Mac (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyediakan peruntukan RM7,000 sehari bagi menyediakan hidangan iftar untuk 500 hingga 1,000 pelajar.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT Faizah Ismail berkata inisiatif yang dijalankan pada setiap tahun itu bertujuan membantu pelajar yang memerlukan dan juga mengimarahkan bulan Ramadan.

Beliau berkata wang peruntukan untuk iftar tersebut diperoleh hasil sumbangan kakitangan UMT sendiri yang melakukan potongan gaji ke Tabung Infaq universiti berkenaan.

"Alhamdulillah kita menerima sumbangan yang banyak daripada kakitangan UMT sendiri yang mahu mendapatkan ganjaran bersedekah pada bulan Ramadan. Slot tajaan setiap hari memang sentiasa penuh.

"UMT juga meneruskan tradisi iftar dengan mengekalkan konsep makan dalam talam bagi menghidupkan sunnah Rasululllah S.A.W dan mengeratkan ukhwah sesama warga UMT," katanya dalam kenyataan hari ini.  

Fauziah berkata UMT juga menyediakan perkhidmatan Nurseri Ramadan bagi kanak-kanak berusia dari dua hingga lima tahun untuk memberi keselesaan kepada ibu bapa melaksanakan ibadah solat tarawih.

Menurutnya perkhidmatan itu dibuka kepada kakitangan UMT dan juga komuniti setempat yang mengikuti solat tarawih di PISM.

"Kanak-kanak ini akan dijaga oleh sukarelawan asnaf pelajar UMT yang mendapat manfaat bantuan zakat melalui PISM. Pelbagai aktiviti menarik dan peralatan permainan disediakan untuk kanak-kanak bagi memastikan mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan," katanya.

Katanya lagi pihak UMT turut mengalu-alukan sebarang sumbangan ke Tabung Infaq UMT bagi membantu program pengimarahan PISM bukan sahaja pada bulan Ramadan malah pada hari-hari biasa.  

 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan